Tapak perniagaan buat penyambungan air haram diserbu

Kakitangan Sains dan SPAN melakukan pemeriksaan berkenaan penyambungan haram yang dibuat.
Kakitangan Sains dan SPAN melakukan pemeriksaan berkenaan penyambungan haram yang dibuat.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah tapak perniagaan yang mempunyai medan selera dan bengkel motosikal di sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan pada minggu lalu itu mendapati, penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 millimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter.

"Bekalan air daripada penyambungan tidak sah itu digunakan di 22 point penggunaan di premis tersebut.

"Ujian klorin yang dilakukan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains. SPAN telah menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil serta domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

"Justeru, para pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982," katanya.