Hentikan sentimen vape tidak bahaya

Bahaya kandungan nikotin ketika menghisap vape menyebabkan ketagihan, membantutkan pembelajaran dan hilang fokus.
Bahaya kandungan nikotin ketika menghisap vape menyebabkan ketagihan, membantutkan pembelajaran dan hilang fokus.
A
A
A

SHAH ALAM - Tabiat penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali vape semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar malah turut menular di peringkat sekolah rendah ekoran terdapat beberapa pihak menggunakan sentimen ia tidak berbahaya.

Realitinya, sama ada vape atau rokok kedua-duanya punya persamaan iaitu merosakkan paru-paru selain memberikan pelbagai kemudaratan masalah kesihatan dan pengaruh yang negatif kepada anak-anak muda.

Lebih membimbangkan jika penggunaan vape itu menjadi punca golongan remaja menjadi penagih nikotin. Jadi, hentikan sentimen vape tidak membahayakan.

Penceramah dari Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Madihah Rushaidhi berkata, kebanyakan cecair berperisa vape itu mempunyai nikotin yang menyebabkan ketagihan.

"Bahaya kandungan nikotin ini menjadi lebih kepada ketagihan, membantutkan pembelajaran, hilang fokus dan seterusnya menyumbang masalah gejala sosial yang lain.

"Ramai remaja yang anggap vape ini selamat daripada rokok, mereka rasa vape macam gula-gula dan wap air berperisa. Tanggapan itu salah sedangkan ia wap air yang berbahaya kepada kesihatan terutama masalah paru-paru," jelasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Parlimen hari Selasa memberi jaminan bahawa pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik tidak akan dilengahkan.

Katanya, ahli Parlimen akan diberi ruang untuk berbincang pada mesyuarat kedua Parlimen ke-15.

Perkara tersebut mendapat maklum balas daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) yang berpendapat ia dapat membendung penularan penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi Biro Wanita Keluarga dan Penawarnya, Datuk Jamelah A Bakar berkata, usaha mengekangnya adalah perlu kerana barangan tersebut merupakan pembuka jalan kepada penyalahgunaan dadah.

Jelas beliau, perkara itu jelas dilihat menerusi laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan tersebut ke dalam cecair vape.

“Cecair ketamin, magic mushroom, pati ganja, syabu yang berselindung di sebalik perisa fruity, creamy atau free base. Ini jelas dan nyata bahawa vape berpotensi digunakan bagi penyalahgunaan pelbagai jenis dadah berbahaya," ujarnya.

Melalui kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan bahawa 43,019 pelajar sekolah menengah ialah pengguna rokok.