Pembahagian kerusi PRN: BN, PH NS hampir capai persefahaman

Jalaluddin (duduk, tengah) pada sidang akhbar di sebuah hotel di Seremban.
Jalaluddin (duduk, tengah) pada sidang akhbar di sebuah hotel di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dan Pakatan Harapan (PH) hampir menemui titik persefahaman berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau telah pun mengadakan perbincangan awal dengan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai perkara itu dan ia berlangsung dalam keadaan positif.

Menurutnya, secara dasarnya UMNO dan PH bersetuju untuk memastikan kemenangan dapat dipertahankan di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti.

"Perbincangan telah pun diadakan bagi mencapai persefahaman untuk memastikan 36 kerusi iaitu 16 milik UMNO dan 20 milik PH dapat dipertahankan oleh Kerajaan Perpaduan.

"Kita juga telah mencapai persefahaman supaya BN tidak ada pertembungan dengan PH dalam PRN nanti," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, beliau yakin UMNO dan PH akan mencapai kata sepakat berhubung soal itu dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, pelbagai formula akan digunakan termasuklah mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sejauh mana potensi sesuatu parti itu boleh menang di kerusi DUN yang bakal ditandingi.

"Cuma saya ada bagi pandangan kepada Menteri Besar bahawa setiap daerah mesti ada wakil dari BN begitu dengan PH.

"Seremban misalnya tiada wakil dari BN dan sebab itu saya telah memberikan pandangan kepada beliau untuk beri pertimbangan khusus setidak-tidaknya BN diberi tambahan dua kerusi," katanya.

Jelas beliau, ia supaya menampakkan ada gandingan dan kesepakatan antara BN dan PH.

"Kita akan berbincang secara keluarga, 'gentleman' dan logik. Yang pasti agenda kita adalah untuk menang PRN dan untuk capai matlamat itu kesefahaman adalah amat penting.

"Kita tunggu dalam dua atau tiga perbincangan lagi dan saya yakin dalam tempoh terdekat ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden kerana keputusan perbincangan antara saya dan Aminuddin akan dibawa ke Majlis Presiden," katanya.

Ditanya sama ada MCA masih mempunyai peluang untuk bertanding, Jalaluddin berkata, ia juga dalam perbincangan dan pertimbangan.

Apa yang akan diberi perhatian kata Jalaluddin, mana-mana parti yang bakal diletakkan di setiap DUN adalah parti yang mempunyai peratusan menang yang tinggi.

"Contohnya jika di DUN Kuala Klawang, kalau UMNO mempunyai 90 peratus untuk menang dan PH pula 85 peratus menang, kerusi itu akan diberi kepada UMNO," katanya.

Berkenaan siapa Menteri Besar atau 'poster boy' beliau berkata, ia bukan perkara yang perlu diberi perhatian sekarang kerana ia adalah keputusan prerogatif Majlis Presiden.

"Pandangan saya, jika ada kerjasama baik antara PH untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, tak wajar untuk ada dua 'poster boy', mesti ada seorang saja.

"Ini akan perkukuhkan lagi ikatan kekuatan jentera kita dalam menghadapi PRN akan datang," katanya.