Johor warta ‘sultanate land’ penempatan, rizab Orang Asli

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan mewartakan kesemua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di negeri ini sebagai ‘sultanate land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati di tanah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pewartaan itu bukan bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan tetapi ia dilindungi oleh Sultan agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

Malah katanya, kerajaan negeri sering menerima pelbagai aduan tentang eksploitasi yang dibuat terhadap Orang Asli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi.

“Kerajaan Johor sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini kepada Orang Asli di negeri ini terutamanya melibatkan penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab Orang Asli di Johor yang dibangunkan bagi tujuan hasil komersial.

“Malah, Orang Asli juga sering digunakan sebagai juru pandu bagi tujuan memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan tidak cukup dengan itu, ada Orang Asli yang digunakan untuk mengekstraktasi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu selain logam-logam bernilai.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menggunakan undang-undang seperti Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966, bagi terus melindungi dan menjaga hak Orang Asli di negeri ini,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjunjung titah dan menyokong sepenuhnya titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa kesemua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah ‘sultanate land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri merupakan penjaga kepada tanah rizab tersebut bagi menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di negeri ini selain boleh menggunakan dan menikmati hasil-hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

Justeru, Onn Hafiz berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan selain membuat apa-apa kenyataan mengelirukan mengenai Orang Asli pada masa akan datang.

“Kita harap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli lagi dan janganlah menangguk di air yang keruh.

“Paling penting jangan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini,” ujarnya.