TCM Wellness Charity Bazar bawa 20 pakar perubatan Cina

Dr. KK Chai (duduk, tengah) bersama jawatankuasa penganjur terlibat dalam acara TCM Wellness Charity Bazar
Dr. KK Chai (duduk, tengah) bersama jawatankuasa penganjur terlibat dalam acara TCM Wellness Charity Bazar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall (KLCAH) dan Lions Club of Selangor TCM akan menganjurkan TCM Wellness Charity Bazar di Maju Link, Bandar Tasik Selatan di sini pada 15 April depan.

Objektif program yang bermula jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari itu adalah untuk menyediakan antaranya konsultasi penjagaan kesihatan dan perubatan Cina secara percuma, akupunktur, urutan dan diagnosis nadi.

Presidennya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, selain itu, KLCAH dan Lions Club turut mengumpul dana untuk aktiviti amal diuruskan Wanita KLCAH bagi membantu kumpulan kurang bernasib baik menerusi acara tersebut.

"Di bawah naungan KLCAH, kami telah menjalankan banyak aktiviti amal secara senyap semasa wabak Covid-19 pada 2020 termasuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"KLCAH tidak terlepas dalam membantu masyarakat memerlukan seperti terlibat dalam Gerakan Bendera Putih dan mengambil bahagian dalam kebanyakan bantuan bencana seperti banjir," katanya.

Beliau menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan rasmi ke China manakala taraf hidup rakyat Malaysia kembali pulih dan semakin baik termasuk dalam soal politik negara.

"Kami juga amat merasakan perbalahan politik pada masa lalu semakin berkurangan dan negara sedang memasuki peringkat perpaduan, integrasi dan pembangunan.

"Kami berharap persekitaran aman dapat diteruskan dan dikekalkan. Sebagai salah satu badan bukan kerajaan (NGO) awam utama di Malaysia, KLCAH bersedia dan mempunyai kewajipan membantu golongan memerlukan serta mempromosikan konsep Rahmah," katanya.

Beliau berkata, KLCAH sentiasa mengambil berat tentang masyarakat dan golongan yang memerlukan menerusi lima jawatankuasa telah ditubuhkan NGO berkenaan pada tahun lepas.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Hew Poh Chin berkata, penganjur bersama, Kelab Lions Selangor TCM menyediakan 20 pakar perubatan Cina selain lebih 20 gerai seperti pemeriksaan kaki percuma, produk perubatan dan kesihatan Cina, pelbagai variasi makanan termasuk berasaskan sayuran dan organik, pencuci mulut, makanan ringan, pastri, minuman serta kraftangan.

Sementara itu, Pengerusi Wanita KLCAH, Datuk Ada Poon Yin Hoong berkata, Wanita KLCAH menganjurkan banyak aktiviti yang mencapai matlamat dan berjaya pada tahun lepas termasuk pembangunan korporat dan aktiviti amal.

"Semua kisah kejayaan ini akan dikongsikan semasa acara berlangsung termasuk mengumumkan aktiviti akan datang yang dianjurkan oleh Wanita KLCAH (Bahagian)," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Lions TCM Selangor, Dr Lee Chu Ling pula berkata, persatuan itu juga telah menjalankan lebih 200 aktiviti amal seperti sesi konsultasi percuma di rumah kejururawatan, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat orang kurang upaya.

"Selain itu, makan tengah hari percuma secara bulanan juga menjadi sebagai sebahagian aktiviti kebajikan. Persatuan akan meneruskan aktiviti amal ini dan kali ini bersama bersama buat kali pertama dalam acara dianjurkan Wanita KLCAH," katanya.

Sehubungan itu, jawatankuasa penganjur program ini menggesa orang ramai untuk memberikan sokongan dan bagi yang berminat untuk menyertai sumbangan boleh membeli kupon pada harga RM30.

Di samping itu, jika orang ramai ingin menyumbang barangan atau menyertai bazar (makanan, keperluan harian) boleh hubungi Pengerusi Penganjur, Hew Poh Chin @ 016-263 8286.