Piala Jerman: Freiburg kejutkan Bayern Munich di Allianz Arena

Freiburg mara slot empat terbaik Piala Jerman selepas mengejutkan Bayern Munich 2-1 dalam perlawanan suku akhir di Allianz Arena pada Rabu. - Foto Agensi
Freiburg mara slot empat terbaik Piala Jerman selepas mengejutkan Bayern Munich 2-1 dalam perlawanan suku akhir di Allianz Arena pada Rabu. - Foto Agensi
A
A
A

SC Freiburg mengejutkan pasukan pilihan Bayern Munich 2-1 dalam perlawanan suku akhir Piala Jerman di Allianz Arena pada Rabu, bagi mengesahkan slot empat terbaik.

Ini merupakan kekalahan mengejut untuk pendahulu Bundesliga itu dalam perlawanan kedua pengendali baharu, Thomas Tuchel selepas menjinakkan Borussia Dortmund 4-2 di gelanggang sama dalam perlawanan liga pada Ahad lalu.

“Sejujurnya saya tidak marah kekalahan ini. Kami melepaskan dua gol hasil peluang dimanfaatkan Freiburg. Selain itu, saya tidak ingat peluang lain dimiliki Freiburg dalam perlawanan ini.

“Namun kami masih mempunyai beberapa percubaan baik, namun gagal menfaatkannya dalam bentuk jaringan.

“Akhirnya semuanya salah kami. Kami sangat kecewa apabila tewas pada suku akhir di tempat sendiri. Sudah tentu saya bertanggungjawab,” kata Tuchel selepas pasukannya terlepas piala pertama musim ini.

Pada perlawanan itu, Bayern mendahului minit ke-19 menerusi tandukan Dayot Upamecano hasil sepakan sudut Joshua Kimmich.

Biarpun begitu, Freiburg kendalian Christian Streich yang tidak mengalah kembali menyamakan kedudukan hasil percubaan 20 meter daripada Nicolas Hoefler pada minit ke-27.

Bayern, yang akan menentang Freiburg di Stadium:Europa-Park Sabtu ini sebelum bertandang ke Stadium Etihad berdepan Manchester City dalam perlawanan lapan terakhir Liga Juara-Juara minggu depan, mula menguji penjaga gol Freiburg, Mark Flekken.

Biarpun agresif pada babak kedua namun Eric-Maxim Choupo-Moting, Thomas Mueller dan Leroy Sane tidak dapat menjaringkan gol.

Ketika anak buah Tuchel konsisten menekan pasukan asuhan Streichtampil mendapat peluang memimpin perlawanan selepas bola terkena tangan Jamal Musiala di dalam kotak penalti.

Lucas Hoeler yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan penalti itu tenang menewaskan Yann Sommer dengan gol minit ke-59 bagi menamatkan rentak tuan rumah.

Sementara itu, Streich mengakui teruja dengan kemenangan mengejutkan di laman lawan tersebut.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Kami memerlukan sedikit tuah juga tetapi kami bekerja keras. Pemain bertahan dengan sangat baik.

“Ia adalah persembahan yang bersemangat dan kemudian anda memerlukan momentum sedemikian untuk memenanginya,” katanya.

Sementara itu, Eintracht Frankfurt juga menempah tempat dalam slot empat terbaik dengan kemenangan 2-0 ke atas Union Berlin hasil dua gol Randal Kolo Muani dalam masa tiga minit.