Tiada mogok, perkhidmatan perubatan di hospital lancar

Perkhidmatan perubatan di Hospital Melaka berjalan seperti biasa.
Perkhidmatan perubatan di Hospital Melaka berjalan seperti biasa.
A
A
A

MELAKA - Keadaan di Hospital Melaka tenang dan segala perkhidmatan perubatan berjalan lancar seperti biasa.

Tinjauan mendapati tiada sebarang aktiviti perhimpunan atau mogok membabitkan doktor kontrak di hospital berkenaan.

Kawasan pekarangan luar lobi hospital yang menempatkan ruang parkir kenderaan awam juga tidak menampakkan sebarang tanda pergerakan ataupun perhimpunan.

Pengarah Hospital Melaka, Dr Zaharimah Abdul Kadir ketika dihubungi memaklumkan semua perkhidmatan tidak mengalami sebarang gangguan susulan isu mogok yang didakwa akan dilakukan doktor kontrak.

"Semua perawatan berjalan normal tanpa sebarang masalah," katanya ringkas.

Keadan hari kedua di Hospital Melaka tenang seperti tinjauan yang dilakukan semalam.
Keadan hari kedua di Hospital Melaka tenang seperti tinjauan yang dilakukan semalam.

Media sebelum ini melaporkan doktor kontrak akan melakukan mogok selama tiga hari bermula pada Isnin supaya permasalahan yang dihadapi mereka diberikan perhatian oleh kerajaan.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sebarang masalah berkaitan pegawai perubatan.

Jemaah Kabinet pada 31 Mac lalu bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu doktor kontrak.

HSB tenang, beroperasi seperti biasa

Sementara itu di ALOR SETAR, operasi perkhidmatan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar didapati berjalan dengan tenang dan lancar setakat jam 2.30 petang pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di hospital utama itu mendapati keadaan baik biarpun telah memasuki hari kedua doktor kontrak dilaporkan mahu melakukan mogok bermula Isnin hingga Rabu ini.

Suasana di pusat derma darah, klinik pakar mahupun unit kecemasan HSB juga berjalan lancar seperti biasa dan tidak kelihatan aktiviti orang berkumpul beramai-ramai di sekitar hospital berkenaan.

Seorang waris kepada pesakit yang mahu dikenali Danny berkata, keadaan dilihat terkawal dan doktor sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang dia menjaga bapanya yang dimasukkan ke wad hospital tersebut sejak Ahad.

Pekerja syarikat swasta itu mengakui turut mengikuti perkembangan semasa berhubung isu doktor kontrak yang dilaporkan mahu melakukan mogok namun bersyukur kerana keadaan terkawal.

"Saya agak susah hati juga jika benar mogok ini berlaku kerana mampu memberikan kesan kepada perkhidmatan kesihatan di negara ini.

"Dalam keadaan terkawal pun ramai pesakit yang menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. Jika betul mereka mogok saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Seorang lagi pesakit yang mahu dikenali Aisyah pula berkata, HSB Alor Setar sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka yang hadir mendapatkan rawatan.

"Perkhidmatan HSB saya lihat lancar seperti biasa pada hari ini walaupun ramai pesakit yang datang mendapatkan rawatan," ujar suri rumah tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, tiada laporan berlakunya mogok atau cuti berkelompok dalam kalangan doktor atau petugas kesihatan di hospital atau klinik kesihatan.

Menurutnya, pihaknya juga tidak mendapat maklumat sebarang perhimpunan atau protes akan diadakan di premis kesihatan negeri ini.

Di JOHOR BAHRU, Hospital Sultan Ismail (HSI) turut dilaporkan dalam keadaan terkawal dengan tiada sebarang bentuk perhimpunan diadakan di persekitaran hospital berkenaan.

Malah, Klinik Kesihatan Sultan Ismail yang terletak berhampiran juga berfungsi seperti biasa dengan petugas kesihatan terus memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

Menurut seorang daripada doktor veteran di HSI ketika ditemui pemberita berkata, tidak berlaku sebarang bentuk mogok namun jika berlaku demikian, keadaan di hospital berkenaan akan bertambah sesak.

"Semuanya ok setakat ni, memanglah kita pun ada dengar ada doktor kontrak nak terlibat sama mogok tapi itu tak berlaku kat sini," katanya yang enggan dikenali.