Skim al-Hanan MAIDAM hargai pembayar zakat

Shaikh Harun (empat dari kanan) beramah mesra bersama tetamu jemputan ketika menghadiri majlis iftar bagi menyantuni seramai 60 asnaf MAIDAM 2023, di Primula Beach Hotel, di Kuala Terengganu pada Selasa.
Shaikh Harun (empat dari kanan) beramah mesra bersama tetamu jemputan ketika menghadiri majlis iftar bagi menyantuni seramai 60 asnaf MAIDAM 2023, di Primula Beach Hotel, di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima sebanyak 1,918 permohonan sejak memperkenalkan Skim al-Hanan sebagai penghargaan kepada pembayar zakat pada Disember tahun lalu.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, skim tersebut merupakan skim khairat kematian MAIDAM untuk para pembayar zakat yang menunaikan zakat hartanya kepada MAIDAM.

"Setakat ini skim ini telah memberi manfaat dan diterima oleh empat pembayar zakat.

"Kadar manfaatnya adalah sebanyak RM3,000 bagi jumlah bayaran zakat RM50 ke atas dan RM5,000 untuk bayaran zakat RM1,000 ke atas," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis iftar bagi menyantuni seramai 60 asnaf MAIDAM 2023, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, kadar agihan manfaat (kafalah) bagi pembayar zakat RM50 ke atas ialah sebanyak RM2,000 yang akan diagihkan kepada waris yang menuntut, RM500 dimasukkan ke Tabung Wakaf Tunai Am atas nama si mati dan RM500 ke tabung Wakaf Tunai Perkuburan Am.

"Bagi manfaat skim RM5,000 iaitu bagi pembayar zakat RM1,000 ke atas pula, sebanyak RM3,000 akan diagihkan kepada waris yang menuntut, RM1,000 ke Tabung Wakaf Tunai Am dan RM1,000 ke tabung Wakaf Tunai Perkuburan Am, "ujarnya.

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, skim itu diharap dapat menjadi galakan dan dorongan kepada pembayar zakat untuk menunaikan kewajipan zakat secara berterusan.

"Masih ada lagi yang belum memohon untuk menyertai skim itu, jadi, kita harap mereka yang sudah tahu boleh turut sama menyertai supaya dapat beroleh manfaat.

"Tanggungjawab menunaikan kewajipan berzakat ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Terengganu," ujar beliau.

Katanya, MAIDAM telah merekodkan pungutan zakat sebanyak RM33.4 juta dan agihan zakat sebanyak RM47.7 juta sehingga 31 Mac lalu.

Zakat tersebut telah diagihkan kepada asnaf yang layak melalui pelbagai skim bantuan zakat yang disediakan.

Pada majlis itu, seramai 30 pembayar zakat hadir dan menyerahkan sendiri sumbangan bakul makanan kepada asnaf yang hadir.