Jepun tamatkan langkah kawalan Covid-19 pada 8 Mei

Bermula 8 Mei Jepun akan menamatkan langkah kawalan Covid-19 ke atas pelancong dari luar negara selaras dengan keputusan untuk mengkategorikan jangkitan ini sebagai penyakit biasa ke arah menormalkan aktiviti sosial dan ekonomi. - Gambar hiasan
Bermula 8 Mei Jepun akan menamatkan langkah kawalan Covid-19 ke atas pelancong dari luar negara selaras dengan keputusan untuk mengkategorikan jangkitan ini sebagai penyakit biasa ke arah menormalkan aktiviti sosial dan ekonomi. - Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO - Bermula 8 Mei Jepun akan menamatkan langkah kawalan Covid-19 ke atas pelancong dari luar negara selaras dengan keputusan untuk mengkategorikan jangkitan ini sebagai penyakit biasa ke arah menormalkan aktiviti sosial dan ekonomi.

Serentak dengan itu juga kerajaan akan memulakan program pengawasan genomik baharu.

Di bawah program berkenaan penduduk yang mengalami gejala seperti demam akan menjalani saringan Covid-19 secara sukarela, lapor Kyodo.

Pada masa ini, semua pelawat luar dikehendaki mengemukakan pensijilan tiga dos Covid-19 atau ujian saringan negatif Covid-19 yang diambil dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Keputusan menamatkan langkah yang mula dilaksanakan pada Februari 2020 itu dijangka membantu memulihkan kemasukan pelancongan ke Jepun.

Perbelanjaan pelawat asing pada 2021 menjunam berbanding sejumlah 4.8 trilion yen (AS$36 bilion) pada 2019.

Pelancong yang tiba di lima lapangan terbang utama - Narita, Haneda, Chubu, Kansai dan Fukuoka -- akan tertakluk kepada rangka kerja baharu yang ditetapkan selepas status sah Covid-19 diturunkan taraf kepada kategori yang sama seperti influenza bermusim awal bulan depan.

Jepun turut akan memudahkan semua ketibaan dari tanah besar China mulai Rabu dan memberi mereka pilihan untuk memasuki negara itu dengan mengemukakan bukti telah disuntik dengan tiga dos vaksin Covid-19.

Pada masa ini, pelawat dari tanah besar China perlu menunjukkan bukti keputusan negatif ujian saringan Covid-19 yang diambil 72 jam atau kurang sebelum berlepas.

"Kami telah memutuskan untuk mengubah langkah tentatif yang sedang dilaksanakan berdasarkan status jangkitan di dalam dan luar negara, serta langkah kawalan sempadan yang diambil oleh negara Kumpulan Tujuh yang lain," kata Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno dalam sidang akhbar.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan meneruskan ujian sampel untuk ketibaan dari tanah besar China di lapangan terbang. - Bernama-Kyodo