Bukan salah Khairul Aming jika berat badan tak turun-turun

Khairul Aming - Foto Instagram khairulaming
Khairul Aming - Foto Instagram khairulaming
A
A
A

MERAK Jalanan percaya, setiap kali tiba bulan Ramadan, pasti ramai yang berkobar-kobar ingin menjadikan bulan mulia ini untuk ikat perut atau berdiet.

Bukan apa, kononnya mahu nampak langsing, kacak dan bergaya ketika Hari Raya Aidilfitri nanti. Yang lelaki mahu berbaju Melayu slim fit dan yang wanita pula mahu berbaju kurung moden atau berkebaya.

Hari demi hari, pejam celik, pejam celik, sudah pun masuk hari ke-13 Ramadan. Tetapi berat badan masih tak berubah. Lebih teruk, ada yang semakin naik seperti dipam-pam pula.

Kawan Merak Jalanan sendiri pada awal Ramadan, bukan main semangat berbuka dengan oat dan buah-buahan sahaja. Minuman pula hanya air masak.

Bagaimanapun semangatnya itu hanya dapat bertahan empat hari sahaja kerana alasannya tidak mampu menahan nafsu melihat video masakan selebriti masakan terkenal, Khairul Aming.

Setiap hari jugalah dia tidak terlepas untuk mencuba menu Khairul Aming.

Tidak hairanlah jika berat kawan Merak Jalanan itu kini mencecah 86 kilogram (kg) berbanding sebelum Ramadan hanya 80kg. Jadi siapa yang bersalah dalam situasi ini? Kawan Merak Jalanan itu atau Khairul Aming?

Pada Merak Jalanan, tugas Khairul Aming hanya menghasilkan video masakan dan beliau bertanggungjawab mempamerkan realiti sebenar cara penyediaan sesuatu masakan. Sedap itu terletak kepada tukang masak.

Sudah tentu kawan Merak Jalanan yang salah sebab tak boleh menahan nafsu makan. Sudah tahu dalam proses diet, boleh pula melanggar pantang larang.

Cuba jadi macam Merak Jalanan, 10 hari berpuasa, 10 hari jugalah hilang 10kg. Tapi bukan berat badan tetapi habis 10kg beras dalam tempoh 10 hari!

Sesungguhnya, tiada jalan mudah untuk mengurangkan berat badan selain mengamalkan diet seimbang dan mengawal pemakanan.