Lari lintang-pukang lihat polis datang

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki berlari akibat panik dengan kehadiran pihak polis dalam satu operasi di Jalan Jelapang di Ipoh.
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki berlari akibat panik dengan kehadiran pihak polis dalam satu operasi di Jalan Jelapang di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Panik dengan kehadiran polis menyebabkan seorang lelaki lari lintang-pukang menyelamatkan diri dalam satu kejadian di Jalan Jelapang di sini pada 2 April lalu.

Video kejadian berdurasi 38 saat yang turut tular di media sosial itu turut mendapat perhatian pihak polis yang menjelaskan kejadian berlaku dalam satu operasi melibatkan sepasukan anggota polis dari Cawangan Penguat kuasa, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3 pagi selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti lumba haram di Jalan Jelapang di sini.

"Siasatan pihak polis mendapati individu yang melarikan diri merupakan orang awam yang merasa panik dengan kehadiran polis secara mengejut dalam operasi malam tersebut.

"Sepanjang operasi dijalankan pihak polis telah mengeluarkan 49 saman trafik ke atas pengguna jalan raya disebabkan pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Yahaya berkata, operasi seumpama itu akan dijalankan secara berterusan di seluruh bandar raya Ipoh bagi membanteras aktiviti-aktiviti lumba haram yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat umum.