'Seminggu dua ini arwah suka peluk saya sebelum pergi kerja'

Sheikh Hamazon
Sheikh Hamazon
A
A
A

PEKAN - Suami kepada Ruzana Mohamah Agin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Pekan-Rompin, dekat Nenasi berjanji akan menjaga ibu mentuanya sehingga ke akhir hayat.

Sheikh Hamazon Sheikh Hasnan, 54, berkata, amanah itu sanggup dipikul kerana menganggap Jemilah Awang Ngah, 74, seperti ibu kandungnya.

"Saya berjanji pada diri sendiri akan terus menjaga ibu mentua sehingga ke akhir hayat dan akan mempertahankannya.

"Saya sudah anggap ibu mentua seperti ibu kandung saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.46 pagi itu, rakan sekerja Ruzana, Suhaizan Abdullah, 41, turut terbunuh selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori treler.

Ditanya mengenai perubahan sikap Ruzana, bapa kepada empat anak itu memberitahu isterinya bersifat lebih mesra daripada biasa sejak kebelakangan ini.

"Sejak seminggu dua ini, dia suka peluk saya sebelum pergi kerja. Saya ingatkan faktor usia dia jadi lebih manja.

"Hari ini (Isnin) sebelum dia ke Rompin sempat memeluk saya dan saya membalas pelukan, tapi tidak sangka ini petanda dia pergi buat selamanya. Saya reda dengan pemergian dia dan memaafkannya," luahnya dengan nada sedih.

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, Sheikh Hamazon berkata, kemalangan membabitkan isterinya itu diketahuinya kira-kira jam 9 pagi selepas menerima panggilan telefon daripada ketua kampung.

Menurutnya, ketua kampung memaklumkan ibu mentuanya terbabit kemalangan sedangkan warga emas itu berada di rumah.

"Saya dah boleh agak sebenarnya isteri yang terlibat dalam kemalangan kerana dia yang pegang kad pengenalan ibunya.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian tetapi dimaklumkan jenazah isteri sudah dibawa ke Hospital Pekan dan saya terus berpatah semula ke sini,” ujarnya.

Menceritakan mengenai isterinya, Sheikh Hamazon berkata, Ruzana seorang yang tidak banyak cakap dan lemah lembut namun tegas selain memberitahu mereka mempunyai empat anak berusia 13 hingga 30 tahun.

“Dia seorang yang sangat komited dengan kerjanya malah sering kerja luar kawasan sama ada bersendirian atau dengan rakan sekerja.

“Kerana dia sering bekerja luar kawasan dan kadang-kadang memandu bersendirian, saya selalu pesan supaya berhati-hati, namun saya reda dengan kejadian ini serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca sebenar,” katanya yang turut memaklumkan mereka merancang mengerjakan umrah bersama-sama pada tahun hadapan.

Jelas, Sheikh Hamazon, jenazah isterinya akan dikebumikan selewat-lewatnya malam ini selepas semua prosedur selesai dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu di sini.

Sementara jenazah Suhaizan dijangka dikebumikan di Kampung Bentan, di sini.

Suhaizan dan Ruzana merupakan Pembantu Perangkaan di Jabatan Perangkaan Pahang dikatakan bersahabat baik dan sering bersama-sama ada di pejabat mahupun melakukan kerja-kerja luar.