Dua wanita maut tersepit nahas dua kenderaan

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut. - Foto JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut. - Foto JBPM
A
A
A

PEKAN - [DIKEMAS KINI] Dua kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang bertugas sebagai pembantu perangkaan iaitu pemandu kereta, Ruzana Mohamad Agin, 50 dan penumpang, Suhaizan Abdullah,41 meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memberitahu, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan lori jenis Man TGA.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu dan penumpang kereta terbabit dalam perjalanan dari Pekan menghala ke Rompin.

Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan treler di Jalan Rompin lama dekat Nenasi pada Isnin. - Foto JBPM
Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan treler di Jalan Rompin lama dekat Nenasi pada Isnin. - Foto JBPM

"Apabila sampai di tempat kejadian selepas kereta itu melalui selekoh ke kiri dan keadaan jalan licin menyebabkan Myvi telah terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar lori yang datang dari arah hadapan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya satu dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, pemandu lori berusia 44 tahun itu pula selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Jelas Mohd Zaidi lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan dan bedah siasat akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian swab Covid-19 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.