63 individu dikehendaki polis diburu di Sepang

Wan Kamarul menunjukkan enam lokasi sekatan jalan raya dilakukan di daerah Sepang sempena Op Cegah Jenayah yang digerakkan sejak 21 Mac sehingga 5 April ini.
Wan Kamarul menunjukkan enam lokasi sekatan jalan raya dilakukan di daerah Sepang sempena Op Cegah Jenayah yang digerakkan sejak 21 Mac sehingga 5 April ini.
A
A
A

PUCHONG - Peningkatan jumlah kes di Sepang mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Cegah Jenayah di daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, operasi dilancarkan kali ini agak berbeza ekoran kes jenayah yang meningkat terlalu banyak dan mencatat jumlah tertinggi di Selangor.

Beliau berkata, statistik bagi tempoh 1 Januari hingga Mac tahun ini merekodkan sebanyak 161 kes di daerah Sepang iaitu mencatat peningkatan sebanyak 45.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 111 kes.

"Ekoran peningkatan kadar kes yang tinggi, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang melancarkan Op Cegah Jenayah dengan mengadakan operasi besar-besaran sejak 21 Mac sehingga 5 April ini.

"Selain enam sekatan jalan raya dilakukan di lokasi utama, sebanyak 14 Op Payung dijalankan.

"Malah Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan enam pasukan rondaan digerakkan menerusi Op Cantas bagi memburu 63 individu dikehendaki bagi jenayah trafik, jenayah komersial serta narkotik," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat kepada pegawai dan anggota seramai 100 orang yang terlibat dalam Op Cegah Jenayah.

Wan Kamarul (tiga dari kanan) memberi taklimat kepada anggota URB sebelum berlepas melaksanakan Op Cegah Jenayah di Balai Polis Putra Perdana, Puchong pada Isnin.
Wan Kamarul (tiga dari kanan) memberi taklimat kepada anggota URB sebelum berlepas melaksanakan Op Cegah Jenayah di Balai Polis Putra Perdana, Puchong pada Isnin.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul berkata, sebanyak 56 kes dicatatkan di daerah Sepang sepanjang bulan Mac, menyaksikan Bandar Putra Perdana merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 16 kes dan diikuti Bandar Salak Tinggi sebanyak 11 kes.

Sementara itu katanya, bagi tempoh tiga bulan tahun ini, kes tertinggi dicatatkan di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda iaitu sebanyak 31 kes.

Jelasnya, kes yang direkodkan di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda adalah melibatkan kecurian di dalam bangunan atau premis perniagaan.

Tambahnya, kes kecurian kabel elektrik yang tinggi berlaku di Dengkil dan Cyberjaya, selain kes curi serta pecah rumah dicatatkan di Putra Perdana.

"Setelah Op Cegah Jenayah dilancarkan pada 21 Mac lalu, kadar kes jenayah di daerah Sepang telah mencatat penurunan.

"Kadar peratusan tertinggi yang dicatatkan adalah sebanyak 49.8 peratus pada 23 Mac lalu, namun peratusannya semakin rendah sejak 30 Mac iaitu di bawah 36 peratus.

"Pada 1 April, peratusan kes jenayah adalah sebanyak 32.14 peratus dan kita berharap ia mampu mencapai sasaran iaitu bawah 25 peratus," katanya.