Leicester City, Rodgers berpisah akhirnya

Reaksi Rodgers selepas kekalahan Leicester City kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London. - Foto AFP
Reaksi Rodgers selepas kekalahan Leicester City kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London. - Foto AFP
A
A
A

BRENDAN Rodgers akhirnya meninggalkan kerusi pengendali Leicester City dengan persetujuan bersama kelab itu, selepas The Foxes melakar kekalahan ke-17 liga setelah mengharungi 26 perlawanan.

Kekalahan 1-2 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London pada Sabtu menyaksikan kelab itu tergelincir ke zon penyingkiran.

Sebagai rekod Rodgers yang berusia 50 tahun merupakan pengendali ke-12 dipecat dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bekas pemain pertahanan kelahiran Irleand Utara itu hadir ke Leicester dari Celtic pada Februari 2019 telah memacu kelab memenangi Piala FA dan Perisai Komuniti pada tahun 2021.

Selain itu Rodgers juga membawa Leicester ke separuh akhir Liga Konferens Eropah musim lalu, namun pencapaian luar dugaan musim ini menyaksikan pengurusan The Foxes mengambil tindakan melepaskannya.

“Pencapaian pasukan di bawah Brendan telah pun berjaya dibuktikan dengan rekod sejak beberapa musim lalu.

“Kelab telah mengharungi beberapa detik terbaik di bawah bimbingannya dan akan sentiasa berterima kasih kepada Brendan dan kakitangannya atas pencapaian di padang

“Di luar padang pula Brendan menerima budaya kelab dan membantu memupuk persekitaran pembangunan cemerlang. Tempatnya dalam sejarah Leicester City terjamin,” kata pengerusi The Foxes, Aiyawatt Srivaddhanaprabha dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun jelas Srivaddhanaprabha, prestasi dan keputusan semasa pada musim ini adalah di bawah jangkaan pengurusan kelab.

“Adalah menjadi kepercayaan kami bahawa kesinambungan dan kestabilan akan menjadi kunci membetulkan perjalanan kami, terutamanya memandangkan pencapaian kami sebelum ini di bawah pengurusan Brendan.

“Malangnya, peningkatan yang diinginkan tidak akan datang dan, dengan baki 10 perlawanan musim ini, lembaga pengarah terpaksa mengambil tindakan alternatif untuk melindungi status Liga Perdana Inggeris.

“Tugas di hadapan kami dalam 10 perlawanan terakhir adalah jelas. Kami kini perlu bersatu bersama penyokong, pemain dan kakitangan dengan menunjukkan ketenangan, kualiti dan perjuangan untuk memastikan kedudukan Leicester City sebagai kelab Liga Perdana Inggeris,” katanya.

Dengan 25 mata, Leicester kini ketinggalan satu mata di belakang Everton dan Leeds dalam Liga Perdana Inggeris.