Siti Nordiana belum bersedia kahwin lagi

Penyanyi, Siti Nordiana
A
A

PENYANYI, Siti Nordiana mengakui dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga selepas lebih sembilan tahun bergelar ibu tunggal.

Menurut Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali Nana, 34, perkahwinan kali kedua biarlah terus kekal hingga akhir hayat tanpa ada sebarang pergolakan rumah tangga.

"Saya kena fikir sedalam-dalamnya dahulu kerana tak mahu apabila sudah kahwin kemudian berpisah nanti masyarakat akan bercakap saya bermasalah pula.

"Kalau boleh saya nak perbaiki diri dari segi fizikal dan mental dulu. Saya pun belum bersedia nak kahwin lagi," luahnya.

Nana ditemui pada sidang media AME 2019 selepas dinobatkan sebagai pemenang Hos dan Top Top MeleTOP Wanita.

Tambah penyanyi Hatiku Milikmu itu, apabila sudah berkahwin nanti dia mahu fokus pada rumah tangga dan akan memperlahankan karier seni.

"Bila dah berkahwin nanti saya nak berikan tumpuan pada rumah tangga. Kalau ada baby lagi, saya pun sudah ada pengalaman, nanti banyak nak urus antara rumah tangga, anak dan kerjaya.

"Sebab itu saya kena betul-betul bersedia dahulu," luahnya apabila menjadi seorang isteri komitmen itu besar.

Untuk rekod, Nana pernah berkahwin dengan arwah Faizal Yusof yang juga merupakan seorang pelakon pada 29 April 2006 sebelum bercerai pada 14 September 2009.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie yang lahir pada 21 Mac 2008.