Gempa bumi: LBS sumbang RM500,000 kepada Turki dan Syria

A
A
A

Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation,Tan Sri Lim Hock San (kanan), menyerahkan sumbangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin (kiri) sambil disaksikan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di China World Hotel, Beijing, semalam.
Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation,Tan Sri Lim Hock San (kanan), menyerahkan sumbangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin (kiri) sambil disaksikan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di China World Hotel, Beijing, semalam.

SHAH ALAM - Diatas tanggungjawab sosial korporat, LBS Bina Group Berhad (LBS) menghulurkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada mangsa gempa bumi di Turki dan Syria.

Sumbangan melalui LBS Foundation (LBSF) itu disampaikan kepada Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) untuk membantu usaha serta bantuan yang sedang giat dijalankan di Turki dan Syria.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Lim Hock San, kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin, sambil disaksikan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, di sebuah hotel di Beijing, China, semalam.

Gempa bumi yang melanda wilayah Van di bahagian timur Turki pada 28 Februari 2023 dengan magnitud 7.2 skala Richter telah mengakibatkan pelbagai kerosakan besar, kehilangan nyawa dan ramai daripada mereka yang hilang tempat tinggal.

Menerusi rekod prestasi yang kukuh di dalam menyokong komuniti yang memerlukan dan dilanda krisis, LBS Foundation juga telah menyumbang beberapa bantuan bencana kepada Tabung Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM1 juta dan di Selangor sebanyak RM20,000 serta bantuan banjir di Pahang sebanyak RM50,000.

Tan Sri Lim Hock San yang juga pengerusi LBS berkata, pihak syarikat bersedih dengan tragedi yang berlaku di Turki dan Syria, dan pihaknya sentiasa mendoakan yang terbaik buat mangsa.

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, kami sedar akan kewajipan kami untuk menyokong sebarang usaha bantuan dan menghulurkan sokongan kami kepada penduduk di Turki dan Syria pada saat yang mencabar ini.

“Kami percaya sumbangan ini akan memberi impak positif kepada mangsa yang terjejas akibat bencana gempa bumi di samping membantu menyokong kerja-kerja organisasi kemanusiaan di lapangan,”katanya.

Menurutnya, LBS Foundation adalah sebahagian daripada komitmen yang berterusan untuk membantu memperkukuhkan individu dan meningkatkan komuniti di setiap peringkat.

Untuk maklumat lanjut tentang LBS Foundation, orang ramai boleh layari laman web rasmi www.lbs.foundation.com.my atau laman sosial rasmi di https://www.instagram.com/lbsfoundationmy/ dan https://www.facebook.com/lbsfoundationmy/