Kad bank ditelan, lelaki pecahkan skrin ATM

Keadaan ATM sebuah bank di Taman Nusa Bestari selepas seorang lelaki bertindak memecahkan skrin ATM pada awal pagi Isnin.
Keadaan ATM sebuah bank di Taman Nusa Bestari selepas seorang lelaki bertindak memecahkan skrin ATM pada awal pagi Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki bertindak memecahkan skrin salah sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Taman Nusa Bestari di sini pada Isnin selepas selepas berang apabila kad banknnya tidak dikembalikan mesin ATM itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, dalam kejadian pada kira-kira jam 3.15 pagi itu, suspek turut bertindak menendang tong sampah menyebabkan keadaan tempat pengeluaran wang terbabit berselerak.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu berada dalam keadaan mabuk ketika insiden berlaku.

"Anggota Unit rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegah Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Iskandar Puteri telah berjaya menangkap suspek yang disyaki telah melakukan khianat pada harta benda.

"Pemeriksaan mendapati suspek memecahkan skrin salah sebuah mesin ATM di bank terbabit selain suspek juga menendang tong sampah yang mengandungi resit bank akibat geram,"katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rahmat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.