Perak bukan lawan yang mudah - Solari

Solari - Foto FB Johor Southern Tigers
Solari - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menafikan tanggapan pihak yang menyifatkan aksi berdepan Perak FC di Stadium Perak pada Selasa, sebagai antara ‘perlawanan mudah’ buat skuad Harimau Selatan, musim ini.

Menurut Solari, tanggapan sedemikian ternyata tidak berasas kerana baginya tidak wujud istilah sedemikian (perlawanan mudah), dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), khususnya Liga Super, musim ini.

“(Menentang) Perak FC ‘perlawanan mudah?' Mungkin di atas kertas, tapi sebenarnya bagi saya, setiap perlawanan merupakan cabaran dan cabarannya adalah untuk bersaing dengan diri kita sendiri.

“Inilah cabaran yang perlu kita lalui dan bagaimana kita mengharunginya sehingga ke wisel penamat dan perkara sama (cabaran) akan berulang apabila kita berdepan Perak FC.

“Sudah pasti kita akan beraksi di tempat lawan, dengan keadaan padang, suasana yang berbeza, namun pemain perlu terus mempamerkan aksi terbaik untuk mencatatkan kejayaan,” katanya menjelang perlawanan berkenaan.

Untuk rekod, JDT kini gah di puncak Liga Super dengan 18 mata hasil enam kemenangan berturut-turut sementara Perak FC berada pada kedudukan ke-10 dengan lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan tewas tiga kali setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini.

Pemain JDT Syameer Kutty Abba (kiri) dan La'vere Corbin Ong, menjalani latihan menjelang aksi berdepan Perak FC, pada Selasa. - Foto FB Johor Southern Tigers
Pemain JDT Syameer Kutty Abba (kiri) dan La'vere Corbin Ong, menjalani latihan menjelang aksi berdepan Perak FC, pada Selasa. - Foto FB Johor Southern Tigers

Sementara itu menurut Solari, pihaknya menunggu keputusan perubatan mengenai status terkini penyerang import, Bergson Da Silva, menjelang aksi berdepan Perak FC.

Katanya, laporan berkenaan penting kerana dia mahu memastikan Bergson telah pulih 100 peratus daripada kecederaannya sebelum dibenarkan beraksi bersama pasukan.

“Memang dia (Bergson) merupakan pemain yang kita perlukan pada perlawanan seperti ini dan kita berharap dia mampu beraksi minggu ini.

“Bagaimanapun, dalam masa sama, kita juga tidak mahu menurunkannya selagi belum cergas sepenuhnya kerana kita mahu melindunginya agar tidak cedera lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.