Rahim Maarof tidak sedarkan diri di ICU

Rahim Maarof
Rahim Maarof
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi rock legenda, Rahim Maarof kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh sejak Jumaat lalu.

Penyanyi berusia 68 tahun yang popular dengan lagu Cinta Kristal dan Istana Menanti itu difahamkan baru sahaja selesai menjalani pembedahan akibat penyakit angin ahmar.

Perkara itu dikongsikan oleh sepupu Rahim yang dikenali sebagai Lydia menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan penyanyi yang popular sekitar zaman 80-an dan 90-an itu.

“Assalamualaikum, mohon doakan untuk sepupu Lydia, abang Rahim Maarof ada di Hospital Sungai Buloh. Masih dalam wad ICU, kena strok dan buat pembedahan Jumaat pagi (baru-baru ini).

“Doktor ada buka tempurung kepala dan buang cairan di kawasan otak. Minta jasa baik semua doakan.

“Semoga berkat doa kita semua dan pada bulan yang barakah ini semoga ALLAH SWT kurniakan kesembuhan dan permudahkan,” luahnya.

Sementara itu, memetik laporan sebuah portal berita, anak saudara Rahim, Nik Nazira Narriman yang juga isteri kepada penyanyi, Yonnyboii turut memaklumkan bahawa keadaan bapa saudaranya itu agak kritikal ketika ini.

“Uncle Rahim ditempatkan di ICU setelah tidak sedarkan diri sejak Jumaat lalu selepas menjalani pembedahan akibat strok.

“Keadaannya ketika ini agak kritikal. Dia juga memang menghidap darah tinggi, tetapi itu sahaja yang saya boleh maklumkan,” katanya.

UJar Nik Nazira, seluruh keluarga bersedih atas kejadian yang menimpa Rahim dan turut memohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk kesihatan bapa saudaranya.

“Saya harap Uncle Rahim segera sedar sebab kita pun sudah nak raya, jadi sedih bila dengar berita sebegini.

“Ibu saya sedih, malah seluruh keluarga bersedih bila dapat tahu. Jadi, kami mendoakan Uncle Rahim kembali sedar secepat mungkin, Insya-ALLAH.” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Rahim mengaku sudah bebas daripada bergelar perokok tegar atas kesedaran mahu memiliki gaya hidup yang lebih sihat sejak mengalami batuk yang sangat teruk sekitar tahun 2018.