Melepak sambil buat bising, polis sita 13 kereta

Antara kenderaan yang disita dalam operasi dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Sik. - Foto PDRM
Antara kenderaan yang disita dalam operasi dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Sik. - Foto PDRM
A
A
A

SIK - Tindakan sekumpulan lelaki melepak sambil mengeluarkan bunyi enjin kenderaan dengan kuat membawa padah selepas diserbu polis dalam operasi yang dijalankan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, tindakan kumpulan itu dikesan mengganggu ketenteraman awam di bulan Ramadan.

Menurutnya, dalam operasi itu polis menyita 13 kereta dan tiga motosikal kerana dikesan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada cukai jalan, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan melibatkan nombor pendaftaran.

"Polis turut menahan tiga individu berusia antara 19 hingga 27 tahun membabitkan Seksyen 42(1) APJ iaitu memandu secara melulu, Seksyen 108(3)(f) iaitu mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambah beliau, operasi bermula jam 6 petang hingga jam 2 pagi itu melibatkan beberapa kawasan tumpuan di Sik termasuk di pekan Sik dan sebanyak 101 saman turut dikeluarkan.