Roti John 'banjir' RM6 tular

Tangkap layar perkongsian Fakrul Rozie mengenai roti john yang padat dengan inti daging, sayur dan sos dibeli pada harga RM6 di sebuah gerai di Manir, Kuala Terengganu.
Tangkap layar perkongsian Fakrul Rozie mengenai roti john yang padat dengan inti daging, sayur dan sos dibeli pada harga RM6 di sebuah gerai di Manir, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Juadah popular Ramadan, roti john yang dijual pada harga RM6 oleh peniaga di Manir di sini tular kerana harganya yang murah namun mewah dengan inti daging, sayur dan sos sehingga dilabel sebagai roti john 'banjir'.

Bukan itu sahaja, roti john itu turut digelar roti john B40 selepas ia ditularkan di grup media sosial Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini oleh pemilik akaun Facebook, Fakrul Rozie pada Jumaat lalu.

Fakrul, 37 ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad berkata, dia tidak menyangka hantaran itu mendapat perhatian ramai sehingga dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

"Sebenarnya saya sekadar suka-suka sahaja berkongsi gambar roti john tu sebab pada saya saiznya memang puas hati dengan inti dagingnya banyak, sos pun mewah dan padat dengan sayur-sayuran seperti salad, timun dan bawang.

"Waktu berbuka puasa, saya makan seorang tapi tak mampu nak habiskan roti john itu kerana kuantiti daging dan bahan-bahan yang terdapat padanya mewah dan banyak," katanya.

Fakrul berkata, pada mulanya dia menyangka penjual tersebut tersilap memberi roti john istimewa (special) kerana dia tidak memesan untuk roti john special ketika menempah juadah itu.

"Kebetulan ketika menempah roti john itu saya antara pelanggan terakhir kerana mereka sudah hampir menutup tempahan kerana sudah banyak.

"Saya tidak tunggu untuk lihat ia disediakan kerana saya juga berniaga 'western food' di bazar Ramadan Manir.

"Selepas ambil tempahan dan buka pembungkus untuk makan, barulah saya perasan kuantitinya begitu banyak dan saya berkongsi mengenainya di media sosial," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen teruja dengan saiz roti john itu dan ingin mengetahui lokasi ia dijual.

Terdapat juga komen oleh pengguna Facebook menggunakan nama Midie Saleh yang dilihat seolah menyindir peniaga yang menjual roti john pada harga mahal sedangkan ia boleh dijual pada harga murah.

"Tipu RM6, patut RM20 kalau macam tu. Boleh bankrap penjual roti john ni... Boleh jatuh miskin kalau jual RM6.

"Peniaga roti john jangan ikut peniaga macam ni.. takut tak merasa pergi haji balik hari," tulisnya.