Sajak-sajak rahsia Ramadan

Ramadan bulan diturunkan al-Quran yang penuh barakah banyak diabadikan dalam bait-bait puisi. Gambar hiasan.
Ramadan bulan diturunkan al-Quran yang penuh barakah banyak diabadikan dalam bait-bait puisi. Gambar hiasan.
A
A
A

SAJAK tidak hanya mampu berkomunikasi tentang perihal kehidupan atau kematian malah melebar kepada suatu peristiwa penting yang pernah bertakhta dalam kehidupan fana seseorang insan seperti yang dihuraikan oleh segelintir penyair Islam tentang Ramadan al-mubarak, bulan yang lebih baik daripada seribu bulan.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i bermaksud; “Apabila saja menjelang Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka, sementara pintu-pintu neraka akan ditutup.”

Ia jelas menunjukkan kerahsiaan Ramadan yang perlu dipenuhi dengan beribadat kepada ALLAH SWT termasuk bertadarus, bertarawih, witir, qaimullail dan bersedekah di samping mengerjakan ibadat puasa.

Ia sepertimana firman ALLAH bermaksud; “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (al-Baqarah:184).

Bertolak daripada keinsafan itulah, segelintir penyair Melayu Islam menuangkan gelodak rasa pada bait sajak-sajak perihal bulan Ramadan yang pernah melingkari kehidupan mereka. Bagi melihat perspektif tersebut, penulis memilih sajak-sajak berjudul ‘Ramadan’ yang tersiar dalam media cetak dan buku sebagai sampel analisis.

Penyair Hadrazmi A.R dalam kumpulan puisinya, Dunia di Bibir Kiamat (1971:124) menulis sajak berjudul Ramadan menyatakan:

Lahir pada kandungannya aksara gunung

Pernah mengukir gading dunia

Gading sejarah yang agung

Ramadan tersusuk pada tubuh pada seluruh

Seperti mulia laut melimpah ruah bertabuh

Meskipun bulan Ramadan menguji sejauh mana ketakwaan seseorang itu, namun di sebalik ujian tersebut tersirat suatu nikmat yang sukar diungkapkan. Berpuasa di kampung atau desa mengimbau rasa syahdu yang manis membelenggu kehidupan. Mokhtar Yassin dalam Ramadan, Berita Minggu (24 Februari 1963) berkata:

Terasa lenguhnya leher menjenguk waktu

Lambat detiknya dari satu ke satu

Entah maghrib menjelang tabuh lambat digenderang

Fakir menunggu waktu di surau baring terbentang

Malamnya sesegar nikmat di syurga

Sejuknya menyapu tubuh menjelang subuh

Di desa sahut menyahut beduk dan tabuh

Mesranya malam dengan amal dan pahala

Mokhtar dengan penuh keinsafan mengakui Ramadan adalah bulan yang mengukur usia dan pahala. Katanya;

Sebulan penuh menghukum diri

Segala amalan berbakti membersih diri

Detik sepanjang musim mengukur usia dan pahala

Ke mana langkah diayun kembali ke Tuhan Esa.

Malah Salmi Manja dalam Ramadan, Dewan Masyarakat (Dis.1968) menyifatkan bulan itu sebagai wadah pengujian keimanan, ketakwaan serta keredaan yang menjadi milik umat Islam menyatakan tindakan pengabdian kepada ALLAH. Antara lain Salmi menyebut;

Adalah keredaan berkaca

Dari percikan iman manusia

Ramadan kepunyaan kita

Kita kepunyaan Tuhan.

Berlainan dengan Aripin Said dalam kumpulan puisinya, Pemain Rebana (1990:4) mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana diketemukan lagi dengan bulan Ramadan. Begini perspektifnya:

Pensucian ini meneguhkan keimanan

Atas rasa syukur memperkuat takwa

Segala nikmat dan rahmat yang dilimpah

Tak terkira sesungguhnya tak terbatas

Lalu bersamamu Ramadan sesungguhnya

Aku terlalu kecil di sisi-Nya

Mempertaruh hidup mati

Namun begitu, Firdaus Abdullah (Laungan 1966:79) menyifatkan bulan Ramadan membentuk hatinya sentiasa patuh terhadap ajaran agama; “Siangku patuh berbaja takwa; malam dadaku penuh berbunga syurga,” manakala Kasajiza A.S berpendapat, kedatangan Ramadan mengajar erti sabar, keinsafan dan mengenal jati diri yang dilakarnya pada sebuah sajak dalam kumpulan puisinya, Hidup Tak Selalu Indah (2013:90).

Sebenarnya, bulan Ramadan menjelma setelah terurainya Syaaban. Sepanjang bulan ini, kita disuruh memperbanyakkan ibadat yang akan menjadi ‘saham’ di akhirat kelak. Demikian pandangan Ahmad Sabree H.O dalam puisi Ramadan siaran Warta Jabatan Agama Johor edisi November 1973.

Mandikanlah jasadmu dengan penuh takwa

Semoga wanginya semerbak

Melambai-lambai di hari muka

Di bawah payung mahkota Tuhan

Tumpang rahmat-Nya.

Begitulah, bagi mereka yang tahu rahsia Ramadan. Tanpa dipaksa, mereka akan menanti penuh setia ketibaannya. Pun begitu, ketibaan Ramadan bagi Mokhtar Mimi mengingatkan kita kepada peperangan hawa nafsu yang sukar dibanteras.

Bulan inilah yang akan mengajar kita erti kesabaran dan menginsafi kemiskinan saudara Muslim yang kurang berada. Lantaran itulah, ALLAH mewajibkan kita berpuasa dengan memberikan rahmat yang tidak terkira. Seperti sajaknya, Ramadan, Dewan Sastera, Jun 1985, Mokhtar Mimi berbicara:

Buat kesekian kalinya Ramadan mengajak kita berperang

Mengajar bermain pedang, tapi kesekian itu juga

Kita lupa rentak gendang menangkis tiap serang

Kerana aku melihat pusu-pusu manusia berangkat

Menuju jantungmu

Sekembalinya sebilangan yang berdarah

Ramai yang parah

Tak kurang yang rebah.

Dalam pada itu, Leo A.W.S pada sajak Ramadan dalam kumpulan puisinya, Pilihan Semusim (1995:7) mengingatkan para penyair agar menulis puisi sufi yang indah dan bersih. Katanya; Seorang penyair seharusnya berpuasa daripada mengeluarkan ungkapan kotor sebaliknya lahirkanlah puisi-puisi yang indah dan bersih.

Di sebalik hikmah yang tersirat dan tersurat itu, penyair terlupa juga menggarap cerita-cerita klasik bulan puasa. Kisah silam yang memagari Ramadan di kampung dan desa seperti majlis moreh di masjid atau surau yang terlepas daripada garapan penyair.

Arus pemodenan desa telah menolak unsur kisah pemasangan panjut daripada minyak kelapa yang bersumbukan tali guni pada kulit kerang yang kini tidak lagi dapat dilihat atau ditemui malah tidak pula diketahui oleh generasi digital pada masa kini.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)