Bot terbalik: 11 rakyat Malaysia hanyut ke Filipina

Mawilla 2 TLDM berjaya membantu membawa pulang 11 warganegara Malaysia selepas bot dinaiki mereka terbalik dan hanyut ke perairan Filipina. - Foto ihsan TLDM
Mawilla 2 TLDM berjaya membantu membawa pulang 11 warganegara Malaysia selepas bot dinaiki mereka terbalik dan hanyut ke perairan Filipina. - Foto ihsan TLDM
A
A
A

SANDAKAN - Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya membantu membawa pulang 11 warganegara Malaysia selepas bot dinaiki mereka terbalik dan hanyut ke perairan Filipina.

Dalam kenyataan di sini pada Sabtu, Mawilla 2 berkata, seorang daripada warga Malaysia yang diselamatkan, Siti Naun Osman, 25, memberitahu kejadian berlaku semasa beliau bersama 10 lagi mangsa iaitu lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac lepas.

No Image Caption

Menurut kenyataan itu, bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak yang kuat, dan mereka terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik itu bagi menyelamatkan diri.

"Bilik operasi Mawillam2 menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan sebuah kapal dagang Tomini Dynasty telah menjumpai 11 orang warganegara Malaysia di Perairan Sibutu, Filipina," kata kenyataan itu.

Kapal Diraja (KD) Paus, yang sedang melaksanakan Operasi Pasir Selatan di sekitar Perairan Tanjung Labian, diaturgerakkan ke kapal dagang itu di posisi sekitar lapan batu nautika Selatan Tanjung Labian bagi mengambil kesemua mangsa yang terlibat.

KD Paus telah membawa mereka ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya. - Bernama