Tangguh kerja-kerja paip pembentung sempena Aidilfitri

Hamdan (dua dari kanan) ditemani Sallehuddin (dua dari kiri) ketika meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek yang terbabit dalam Fasa 1 projek Pembetungan Kuantan di sini pada Sabtu.
Hamdan (dua dari kanan) ditemani Sallehuddin (dua dari kiri) ketika meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek yang terbabit dalam Fasa 1 projek Pembetungan Kuantan di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kerja- kerja pemasangan paip pembentungan di beberapa lokasi di bandar Kuantan membabitkan penutupan jalan akan ditangguhkan menjelang sambutan Aidilfitri pertengahan bulan ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, pemakluman mengenai penangguhan kerja-kerja terbabit sudah disampaikan kepada pihak kontraktor terlibat.

"Mereka perlu memberhentikan kerja dalam tempoh dan hari tertentu supaya semula laluan ditutup sebelum ini dibuka semula.

"Jumlah kenderaan pada musim perayaan meningkat dan pihak kontraktor diingat supaya mengambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pembukaan semula Jalan Teluk Sisek yang terbabit dalam Fasa 1 projek Pembetungan Kuantan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan wakil pihak pemaju Jalur Cahaya (JC) Sdn Bhd.

Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Projek Pembentungan Bandar Kuantan Fasa 1 memulakan pembinaan pada tiga tahun lalu.

Hamdan berkata, warga Kuantan kini boleh menarik nafas lega apabila kerja-kerja pemasangan paip pembentung selesai sepenuhnya dan laluan di Teluk Sisek mulai dibuka kepada orang ramai.

"Pembukaan semula jalan Teluk Sisek ini selepas hampir tiga tahun dan kini ia mampu memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya di kawasan ini," ujarnya.

Sementara itu, Sallehuddin berkata, kerajaan Pahang sedang mempertimbang pelaksanaan Fasa 2 projek membabitkan kawasan Indera Mahkota.

Jelasnya, permohonan daripada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan negeri telah diterima dan jika mendapat kelulusan beberapa syarat tambahan akan dibuat agar pengurusannya dapat ditambah baik.

"Antaranya, tiada lagi 'interchange' yang besar di tengah jalan. Keduanya, pihak pemaju perlu memastikan kawalan trafik yang lebih baik di kawasan terbabit.

"Kita juga tidak benarkan penutupan jalan pada waktu puncak kerana melibatkan kos kepada orang awam. Kita juga minta dipastikan laluan dibuka dua hala bagi sepanjang masa," tambah Sallehuddin lagi.