Dua sahabat maut kemalangan di Pelabuhan Barat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Dua sahabat maut selepas motosikal dinaiki gagal memotong sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan dilanggar sebuah treler di Jalan Pelabuhan Barat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, pembonceng motosikal, Amirul Naim Zainuddin, 18, maut di lokasi kejadian kerana parah di kepala akibat digilis.

Rakannya, Muhammad Daniel Imran, 18, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akibat parah di bahagian perut kerana terjatuh daripada motosikal berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan berlaku ketika dua mangsa menaiki motosikal jenis Honda Dash 125 dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang dari Pulau Indah.

"Siasatan awal mendapati motosikal yang dipandu mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

"Namun, motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan kenderaan tersebut sebelum kedua-dua mereka terjatuh di lorong kanan laluan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kemudian sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 52 tahun dari arah belakang gagal mengelak sebelum menggilis kepala pembonceng motosikal berkenaan.

Katanya, penunggang motosikal yang parah akibat terjatuh dari motosikal telah dikejarkan ke HTAR, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.