Sistem imigresen Singapura alami gangguan jarang berlaku

Gangguan pada sistem imigresen telah memberi kesan kepada laluan berlepas dan ketibaan penumpang automatik di seluruh terminal. - Foto AFP
Gangguan pada sistem imigresen telah memberi kesan kepada laluan berlepas dan ketibaan penumpang automatik di seluruh terminal. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Gangguan di kaunter pelepasan imigresen automatik yang berpunca dari 'isu sistem' telah menyebabkan kelewatan jarang berlaku di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada Jumaat.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menerusi Facebook mengesahkan insiden itu yang telah menjejaskan ratusan pengembara yang terpaksa beratur dalam barisan yang panjang.

Bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk, ICA telah menyarankan pengembara supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke luar negara.

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi situasi 'huru-hara' berikutan kaunter manual kelihatan agak sesak.

Sementara itu, Lapangan Terbang Changi dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan pada sistem imigresen telah memberi kesan kepada laluan berlepas dan ketibaan penumpang automatik di seluruh terminal.

"Kami menasihatkan para penumpang supaya datang lebih awal," ujarnya.

Masalah sama juga dilaporkan berlaku di pusat pemeriksaan lintasan sempadan Singapura dan Malaysia yang biasanya sesak, namun situasi kembali reda menjelang waktu tengah hari. - AFP