Tze Yong mahu cipta 'magis' di Dubai

Tze Yong akan galas cabaran negara dalam kejohanan BAC di Dubai bermula 25 hingga 30 April ini. Foto Badminton Photo
Tze Yong akan galas cabaran negara dalam kejohanan BAC di Dubai bermula 25 hingga 30 April ini. Foto Badminton Photo
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menjadikan pengalaman menumbangkan juara dunia Viktor Axelsen di pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England baru-baru ini, sebagai bekalan untuk mencipta 'magis' di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 pada April.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bersiap sedia berdepan segala kemungkinan untuk menawan kejohanan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu selepas penampilan pertama di Filipina tahun lalu tidak berhasil apabila dibenam seawal pusingan pertama oleh pemain India Kidambi Srikanth.

"Saya banyak belajar di kejohanan Eropah dan yakin tampil aksi lebih baik dalam beberapa siri kejohanan selepas ini. Saya sudah sihat lepas kecederaan di Eropah.

"Saya kembali menjalani latihan Rabu lepas (29 Mac) dan akan sertai BAC selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada Jumaat.

Tze Yong, 23, enggan memberi tekanan kepada diri sendiri dengan terburu-buru meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan itu, sebaliknya akan menajamkan kemahiran sedia ada bersama jurulatih Hendrawan untuk menikmati perlawanan demi perlawanan ketika bertemu pihak lawan.

Pada 16 Mac lalu, Tze Yong mencipta sensasi apabila menyingkirkan penyandang juara Seluruh England, Axelsen pada saingan kedua di Birmingham, namun terpaksa akur apabila ditewaskan Li Shi Feng dari China dalam perhitungan straight set 21-11, 21-11 pada suku akhir.

Beliau bagaimanapun terpaksa menarik diri di suku akhir Terbuka Switzerland (24 Mac) ketika menentang wakil Taiwan, Chou Tien Chen selepas mengalami ketegangan hamstring paha.

Kecederaan itu memaksanya untuk menamatkan kempen di Eropah dengan melupakan kejohanan Masters Sepanyol yang membuka tirai Selasa lalu (28 Mac).

BAC 2023 akan berlangsung di Dubai, UAE pada 25 hingga 30 April ini. - Bernama