Kim Jong-un tiba di Rusia untuk bertemu Presiden Putin

Ketibaan Kim Jong-un disambut pegawai Rusia sebelum dijadual bertemu Presiden Vladimir Putin hari ini. - Foto Al - Jazeera
Ketibaan Kim Jong-un disambut pegawai Rusia sebelum dijadual bertemu Presiden Vladimir Putin hari ini. - Foto Al - Jazeera
A
A
A

MOSCOW - RUSIA. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan tiba di Rusia bagi menghadiri pertemuan sulung dengan Presiden Vladimir Putin.

Ketibaan Jong-un di Vladivostok menaiki kereta api disambut pegawai Rusia sebelum dijadual bertemu Putin di Pulau Russky hari ini.

"Saya berharap kunjungan ini akan beri manfaat kepada kedua-dua pihak," kata Jong-un kepada media tempatan.

Sementara itu, Rusia berkata, pertemuan kedua-dua pemimpin itu antara lain bakal membincangkan isu senjata nuklear di Semenanjung Korea namun berkemungkinan Jong-un akan cuba mencari sokongan selepas persidangan dengan Amerika Syarikat (AS) gagal.

Terdahulu, Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump bertemu di Hanoi awal tahun ini bagi membincangkan isu program nuklear Korea Utara, namun tiada sebarang perjanjian dimeterai.

Sementara itu, menurut jurucakap Putin, Kremlin percaya satu-satunya cara untuk menangani isu senjata nuklear di Semenanjung Korea adalah menerusi perbincangan enam hala yang ketika ini tertangguh.

Perbincangan yang bermula pada 2003 itu melibatkan Korea Selatan, Korea Utara, China, Jepun, Rusia dan AS.

Penganalisis percaya pertemuan ini membuka peluang kepada Rusia membuktikan mereka merupakan kuasa penting di Semenanjung Korea. - Agensi

Artikel Berkaitan: