Dua sindiket tumpas, dadah bernilai RM11.034 juta dirampas

Hussein Omar Khan (kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi operasi yang dijalankan di sekitar negeri ini pada Selasa. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM WAHID
Hussein Omar Khan (kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas menerusi operasi yang dijalankan di sekitar negeri ini pada Selasa. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Dua sindiket pengedaran dadah tumpas menerusi tangkapan tujuh individu serta rampasan heroin dan methamphetamine bernilai RM11.034 juta di sekitar negeri ini pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek diberkas menerusi operasi yang dijalankan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Menurutnya, kes pertama melibatkan serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Damansara Perdana pada jam 1.50 tengah hari.

"Ketiga-tiga suspek yang diberkas melakukan pemindahan dadah dari sebuah kenderaan jenis Toyota Estima ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

"Susulan tangkapan dan rampasan tersebut, polis menahan seorang lagi suspek lelaki di sekitar kawasan Shah Alam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Katanya, kes kedua melibatkan tangkapan seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta di Pelabuhan Klang pada jam 11.50 pagi.

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan jenis Toyota Wish digunakan suspek menemukan 28 ketulan heroin dan satu bungkusan dipercayai methamphetamine.

"Serbuan berikutnya dijalankan di kawasan tempat letak kereta di Ampang dan merampas 11 ketulan heroin yang ditemui dalam bonet sebuah kenderaan jenis Perouda Myvi di kawasan tersebut," katanya.

Menurutnya, maklumat daripada serbuan kemudian membawa kepada tangkapan dua lelaki dan seorang wanita di Klang, Tanjung Malim dan Cyberjaya dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit.

"Kesemua suspek ditahan merupakan enam lelaki dan seorang wanita berumur antara 27 hingga 52 tahun.

"Jumlah dadah dirampas dalam kedua kes melibatkan 298.9 kilogram heroin bernilai RM10.8 juta manakala 17.6 kilogram heroin bernilai RM234,366," katanya.

Ujar Hussein, dadah untuk pasaran sekitar Lembah Klang itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menerusi utara tanah air.

Tambah beliau lagi, polis turut menyita sebuah Toyota Hilux, sebuah Perodua Myvi, sebuah Proton Saga dan 17 barangan kemas melibatkan keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM191,080.

Kata beliau, kesemua suspek kini direman antara tiga hingga tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Rampasan keseluruhan methamphetamine dipercayai boleh dibekalkan kepada 1.5 juta pengguna manakala heroin boleh digunakan kepada 87,450 penagih dalam masa sehari.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.