Ribut di Perlis: Kerugian dianggar hampir RM1 juta

Sebuah rumah lompong selepas bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Rabu. Antara gerai jualan yang musnah dalam kejadian ribut pada Rabu. - Foto: (ihsan pembaca)
Sebuah rumah lompong selepas bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Rabu. Antara gerai jualan yang musnah dalam kejadian ribut pada Rabu. - Foto: (ihsan pembaca)
A
A
A

KANGAR - Kerugian dialami mangsa yang terjejas ribut di negeri ini pada Rabu dianggarkan mencecah RM973,680 membabitkan kerosakan kediaman, gerai peniaga serta harta benda.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, mesyuarat khas jawatankuasa bencana negeri telah dimaklumkan dan buat masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS) sedang menjalankan siasatan dan lawatan tapak ke rumah mangsa.

Menurutnya, setakat tengah hari Khamis, sebanyak 297 laporan polis telah diterima daripada orang ramai yang melaporkan kerosakan kediaman, harta benda dan premis perniagaan.

“Kes tertinggi adalah di kawasan Kangar dengan 289 laporan. Jumlah ini berdasarkan laporan yang diterima daripada pemimpin masyarakat, amil dan imam di setiap kariah selain mangsa-mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hasnol Zam Zam berkata, JKM akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa terlibat khususnya untuk membaiki kerosakan kediaman masing-masing berdasarkan garis panduan sedia ada.

“MAIPs pula akan salurkan bantuan bagi membaiki kerosakan besar, selain menimbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang berada di luar garis panduan JKM berdasarkan kes tertentu,” jelasnya.

Menurutnya, penjaja dan peniaga yang terjejas dalam kejadian ini diminta mengemukakan laporan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi tujuan penilaian bantuan oleh jabatan dan agensi terlibat.

Hasnol Zam Zam memberitahu, MPK juga telah mengambil tindakan segera membersihkan kawasan-kawasan terjejas terutama jalan raya dan laluan yang terhalang oleh pokok tumbang.

“Kerajaan negeri sentiasa komited membantu semua pihak yang terkesan dalam kejadian ribut ini, kita akan pastikan keselamatan dan kebajikan mangsa-mangsa ini diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian sekitar 4.45 petang Rabu, ratusan rumah serta puluhan gerai peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini dilaporkan terjejas teruk dilanda ribut dan angin kencang.

Artikel Disyorkan