Langkah keselamatan tidak akan dilonggarkan di Esszone

 Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Langkah keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) tidak akan dilonggarkan sama sekali meskipun kawasan berkenaan kini berada dalam keadaan yang selamat dan tenang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak akan bersikap sambil lewa dalam situasi tenang kini dan sikap itu menunjukkan isyarat bahawa pasukan keselamatan tidak akan berkompromi atau bertolak ansur dalam menjaga keselamatan negara.

"Pihak berkuasa akan terus melipatgandakan usaha supaya kita tidak terperangkap dalam keadaan tidak bersiap sedia, itu yang sangat mustahak. Alhamdulillah, apa yang kita alami sekarang ini adalah keadaan tenang dan terkawal.

"Kawasan pesisir Pantai Timur Sabah ini memang terdedah kepada pelbagai ancaman bukan sahaja di perbatasan tetapi juga isu melibatkan beberapa tuntutan daripada pihak tertentu yang sentiasa mendatangkan masalah dari aspek kesejahteraan dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas antara Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah yang bersara wajib kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun yang memangku jawatan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kepayan, di sini pada Khamis.

Acryl Sani berkata, penambahan dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah yang diumumkan baru-baru ini, juga antara langkah keselamatan di sempadan negara yang turut mengambil kira perkembangan dari sudut infrastruktur dan ekonomi negara jiran yang dijangka memberi impak kepada negeri ini.

Menurutnya, keupayaan Pasukan Polis Marin juga akan ditingkatkan bagi memastikan ancaman dari arah laut dapat ditangani dengan baik.

Mengenai majlis itu, Acryl Sani berkata, pelantikan rasmi bagi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah serta beberapa jawatan lain termasuk jawatan pegawai dalam ESScom akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mesyuarat diadakan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penubuhan Esszone, yang terletak di kawasan Timur Sabah diumumkan pada 25 Mac 2013 dan ESSCom, yang bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-10 pada 1 April ini, merupakan agensi bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu.

Penubuhan dua entiti penting keselamatan itu dibuat bagi meningkatkan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah terutama selepas pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013 yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala 68 pengganas ditembak mati. - Bernama