Lelaki pukul imam ketika solat Subuh dituduh esok

Wan Mohd Zahari (Laporan Sinar Harian.)
Wan Mohd Zahari (Laporan Sinar Harian.)
A
A
A

KUANTAN - Suspek kes pukul imam jemputan ketika solat Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini pada Ahad lalu akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan mendapat arahan pertuduhan ke atas lelaki berusia 38 tahun itu daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu ketika solat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Suspek yang turut positif dadah jenis methampheamine dan amphetamine ketika ditahan akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tarikh lain.

"Suspek kini masih berada di bawah pengawasan pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan lelaki itu merupakan pesakit mental dan pernah mendapatkan rawatan di Wad Dahlia HTAA melalui semakan rekod hospital itu.

"Lelaki ini juga didapati sering berada di kawasan masjid tersebut, namun pada hari kejadian dia bertindak agresif mungkin disebabkan pengaruh dadah.

"Soal siasat yang dijalankan, lelaki itu mendakwa dia bertindak agresif kerana berang bacaan surah oleh imam bertugas ketika solat Subuh itu ada menyebut namanya," katanya.

Video kejadian kira-kira jam 6.18 pagi itu sebelum ini tular suspek di laman sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi netizen.

Berdasarkan rakaman video itu, suspek yang berpakaian baju Melayu, berkain pelikat dan berseluar hitam muncul secara tiba-tiba menyerang mangsa dari belakang.

Mangsa merupakan pelajar Maahad Tahfiz Thurath, yang dijemput untuk mengimamkan solat Subuh pada Program Khatam Subuh 2.0 di masjid tersebut.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat mengelak semasa dipukul dan selipar oleh suspek.

Ekoran gangguan itu, suspek telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke unit rawatan psikologi HTAA untuk pemeriksaan dan rawatan.