Kuih putu perak laris di Terengganu

Muhd Hafiz dan isteri, Sakiinah menunjukkan dua perisa kuih putu perak iaitu perisan gula merah dan pandan yang dijual di Bazar Ramadan Drawbridge di Kuala Nerus, Terengganu.
Muhd Hafiz dan isteri, Sakiinah menunjukkan dua perisa kuih putu perak iaitu perisan gula merah dan pandan yang dijual di Bazar Ramadan Drawbridge di Kuala Nerus, Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS - Kuih tradisional warisan negeri Perak yang digelar putu perak dihasilkan pasangan suami isteri di sini semakin dikenali dan menepati cita rasa masyarakat Terengganu.

Walaupun masyarakat negeri itu lebih sinonim dengan kuih putu piring dan putu bambu, kehadiran satu-satunya penjual yang menjual kuih putu perak di daerah itu ternyata mendapat sambutan ramai.

Muhd Hafiz Abdul Karim, 25 berkata, kuih putu perak yang dihasilkan isterinya, Sakiinah Said, 24, adalah resipi warisan daripada keluarganya yang tinggal di Gerik, Hulu Perak.

"Resipi asal kuih putu perak ini diperoleh daripada keluarga isteri saya di mana dia merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik, lapan daripada mereka semuanya menjalankan perniagaan menjual kuih tradisional ini.

"Disebabkan ia merupakan resipi warisan keluarga jadi bahan-bahan kita guna untuk hasilkan putu perak ini juga kita dapatkan dari sana (Perak) sebab bahan utama (tepung beras) yang digunakan dibuat sendiri dan bukan yang dibeli siap dari kedai," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada hari pertama berniaga putu perak di Bazar Ramadan Drawbridge dekat sini.

Menurutnya, pada hari biasa mereka akan membuka gerai jualan di Pantai Teluk Ketapang, di sini.

"Walaupun saya rasa hanya saya yang jual kuih ini di sini, sambutan diberikan menggalakkan. Jualan kuih putu perak pada hari biasa pernah mencecah sehingga 250 bekas di mana setiap satu bekas dijual pada harga RM5.

"Untuk jualan hari biasa saya jual empat perisa iaitu gula merah, pandan, coklat dan original manakala di bazar Ramadan ini saya hanya jual dua perisa iaitu pandan dan gula merah kerana kekangan masa untuk hasilkan lebih banyak variasi," katanya yang sebelum ini berniaga kuih tradisional itu di Paka, Dungun.

Kuih tradisional dari Perak iaitu putu perak yang dijual Muhd Hafiz semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan di Terengganu.
Kuih tradisional dari Perak iaitu putu perak yang dijual Muhd Hafiz semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan di Terengganu.

Menurut Muhd Hafiz, biasanya pelanggan berasal dari Terengganu lebih gemarkan inti gula merah dan mereka yang berasal dari Perak pula sukakan perisa original.

"Sebenarnya ramai juga yang keliru dan samakan putu perak ini dengan kuih putu piring dan putu bambu. Sebenarnya ia adalah kuih yang berlainan.

"Walaupun kaedah penghasilannya lebih kurang sama, adunan bahan-bahan untuk menghasilkan kuih ini berbeza sekali gus mempengaruhi rasa dan tekstur kuih tersebut.

"Disebabkan negeri-negeri seperti Kelantan terkenal dengan putu piring atau putu halba, Terengganu dengan putu bambu jadi Perak pun ada putu tersendiri iaitu kuih putu perak," ujarnya.

Menurutnya antara cabaran untuk hasilkan putu perak ialah beras yang digunakan untuk dikisar perlu direndam selama beberapa jam terlebih dahulu supaya ia lembut.

"Beras itu pula perlu disimpan di dalam peti sejuk bagi menjaga kualitinya agar tidak mempengaruhi rasa dan tekstur kuih dihasilkan.

"Biasanya, kalau saya ambil beras dari kampung isteri saya akan ambil dalam kuantiti banyak iaitu 200 kg ke atas supaya ia boleh digunakan dan bertahan selama tiga minggu.

"Lagipun, stok tepung beras yang merupakan bahan utama perlu sentiasa ada memandangkan agak jauh untuk saya berulang alik ke sana yang mengambil masa lapan jam," katanya yang mula berniaga di Pantai Teluk Ketapang sejak Januari lalu.