Ringgit ditutup rendah susulan pengambilan untung

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan beberapa aktiviti pengambilan untung memandangkan peningkatan pantas unit tempatan akhir-akhir ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.4155/4210 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3990/4030 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unjuran pertumbuhan dan inflasi Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan 2022 yang dikeluarkannya hari ini adalah sangat sejajar dengan unjuran Kementerian Kewangan.

"Mereka (BNM) yakin dengan ekonomi domestik dengan pekerjaan penuh telah dapat dicapai. Tambahan lagi, aktiviti pelaburan dijangka kekal kukuh memandangkan pelaksanaan projek prasarana.

"Pembukaan semula sempadan China juga boleh meningkatkan ekonomi kita menerusi industri berkaitan pelancongan. Justeru, saya fikir satu lagi kenaikan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh berlaku pada bila-bila masa pada tahun ini,” katanya kepada Bernama

Afzanizam berkata, kenaikan kadar OPR boleh membantu meningkatkan ringgit terutamanya apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dijangka menamatkan trend kenaikan kadarnya tidak lama lagi.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali yen Jepun, apabila ia meningkat kepada 3.3524/3569 daripada paras 3.3606/3642 pada Khamis.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.4531/4599 daripada 5.4046/4095 dan susut berbanding euro kepada 4.7943/8003 daripada 4.7580/7623 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang negara-negara Asean.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3219/3263 daripada 3.3100/3135, susut berbanding peso Filipina kepada 8.11/8.12 daripada 8.07/8.09 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9267/9485 daripada 12.8288/8457.

Bagaimanapun ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 293.20/293.70 daripada 291.60/291.90 sebelumnya. - Bernama