Kampus UUM pula dilanda ribut

Pokok tumbang hingga menghempap kereta dalam kejadian ribut di kampus UUM pada Rabu. - Foto: Ihsan Pembaca
Pokok tumbang hingga menghempap kereta dalam kejadian ribut di kampus UUM pada Rabu. - Foto: Ihsan Pembaca
A
A
A

SINTOK - Ribut dan hujan lebat melanda mengakibatkan banyak pokok tumbang hingga menghempap kereta di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini pada Rabu.

Angin kencang dan hujan lebat selama lebih kurang 30 minit dipercayai bermula jam 3 petang turut menumbangkan pokok di beberapa laluan sekitar kampus hingga menutup laluan.

Beberapa bumbung kawasan parkir turut mengalami kerosakan akibat angin kencang di UUM pada Rabu.
Beberapa bumbung kawasan parkir turut mengalami kerosakan akibat angin kencang di UUM pada Rabu.

Kejadian ribut turut menyebabkan kerosakan beberapa struktur termasuklah bumbung diterbangkan angin dan dinding kaca bangunan akademik di universiti turut pecah.

Bagaimanapun, ribut yang melanda itu tidak menyebabkan insiden melibatkan sebarang kecederaan kepada warga UUM.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan talian MERS 999 berhubung kejadian ribut pada jam 5 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu dikejarkan ke kawasan berkenaan sejurus menerima panggilan kecemasan itu.

Pokok tumbang akibat ribut dengan hujan di UUM pada Rabu. - Foto: Ihsan Pembaca
Pokok tumbang akibat ribut dengan hujan di UUM pada Rabu. - Foto: Ihsan Pembaca

"Hujan lebat dengan angin kencang yang melanda mukim Temin mengakibatkan pokok tumbang menimpa kenderaan hingga menyebabkan kerosakan bumbung, garaj kenderaan serta menghalang jalan atau laluan di dalam kawasan UUM Sintok

"Sehubungan itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kubang Pasu mengambil beberapa tindakan termasuklah membersihkan pokok tumbang dan kawasan terjejas,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 23 Mac lepas, Sinar Harian melaporkan beberapa pokok dan khemah diterbangkan angin akibat ribut kencang dan hujan di beberapa lokasi di Pekan Jitra dan kawasan berhampiran.

Ia disusuli dengan kejadian ribut di kejadian ribut melanda di daerah Yan dan Pokok Sena hingga mengakibatkan lebih 60 rumah rosak pada Isnin lepas.

Pada Selasa, lebih 50 khemah niaga di tapak Festival Mega Aidilfitri di Taman Serai Wangi, Padang Serai di Kulim pula runtuh dan diterbangkan angin akibat ribut.