'Tuah tidak berpihak kepada kami' - Andersen

Andersen - Foto FAM
Andersen - Foto FAM
A
A
A

JIKA tuah berpihak kepada kami di minit-minit awal, sudah pasti keputusan perlawanan ini akan berubah,” Itu reaksi pengendali Hong Kong, Joern Andersen ketika mengulas mengenai kekalahan 0-2 skuad kendaliannya itu kepada Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.

Begitupun, Andersen tetap berpuas hati dengan keputusan perlawanan setelah menyaksikan kesebelasan pemainnya mempamerkan aksi mantap dengan memberikan tekanan demi tekanan kepada skuad negara.

Malah katanya, skuad yang beraksi kali ini dilihat jauh lebih baik berbanding skuad yang beraksi dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun tahun lalu.

“Saya lebih berpuas hati dengan keputusan perlawanan daripada skuad kali ini..saya dapat lihat lima hingga enam pemain bekerja keras di sepanjang perlawanan dan memberikan kesukaran buat Malaysia.

“Pemain muda kami, Poon Pui Hin misalnya, memiliki sekurang-kurangnya empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol; saya memberikannya peluang untuk beraksi selama 90 minit dan dia telah membalas kepercayaan itu,” ujarnya.

Kesebelasan utama pasukan Hong Kong ketika turun bertemu Harimau Malaya pada Selasa. - - Foto FAM
Kesebelasan utama pasukan Hong Kong ketika turun bertemu Harimau Malaya pada Selasa. - - Foto FAM

Untuk rekod, Hong Kong berpeluang membuka jaringan seawal minit ke-4, menerusi pemain pertahanan, Vasudeva Nunez, namun tandukannya tepat ke tiang gol sebelum melantun keluar biarpun penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah pun tertewas.

Sementara itu Andersen berkata, pihaknya berkemungkinan menjemput skuad negara untuk beraksi di Hong Kong pada September depan.

“Sudah dua kali kita dijemput beraksi di sini (Malaysia), dan kini giliran kami pula menjemput anda untuk bermain di Hong Kong.

“Tapi saya difahamkan, skuad Harimau Malaya sudah pun memiliki perancangan lain, apa pun kita tunggu apa juga keputusannya nanti,” katanya.