Harimau Malaya perlu tampil lebih garang

Pan-gon - Foto FAM (Gambar kecil: Kesebelasan utama Harimau Malaya pada aksi berdepan Hong Kong, malam tadi. - Foto FAM)
Pan-gon - Foto FAM (Gambar kecil: Kesebelasan utama Harimau Malaya pada aksi berdepan Hong Kong, malam tadi. - Foto FAM)
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyifaktan kesebelasan skuad kendaliannya perlu tampil lebih garang selepas ini dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan terutamanya ketika beraksi di laman sendiri.

Menurut Pan-gon, biarpun kesebelasan pemainnya telah mempamerkan peningkatan ketika menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa lalu, namun rata-ratanya dilihat masih belum mencapai tahap prestasi yang diinginkan.

“Masih ada ruang untuk penambahbaikan... kerana walaupun menang, saya masih kurang berpuas hati dan ini adalah satu kenyataan.

“Namun pada masa sama, matlamat kita juga sebenarnya masih berterusan dan kami kini berada pada suatu tahap di mana saya gembira untuk mengekalkan rentak kemenangan.

“Paling penting, ini kubu kami; siapa (pasukan) yang datang, kami akan tentang dan sedaya upaya mencatatkan kemenangan,” katanya pada Rabu..

Untuk rekod, skuad negara mencatatkan dua kemenangan pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 apabila menewaskan Turkmenistan, 1-0 pada 23 Mac sebelum menewaskan Hong Kong 2-0 malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan skuad negara mengulangi kemenangan 2-0 pada aksi persahabatan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia Kumpulan E, berdepan Hong Kong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun tahun lalu.

Selain itu, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu turut gembira apabila skuad Harimau Malaya meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri selepas hanya tewas kepada Bahrain 1-2 pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur, Jun tahun lalu.

Tambah Pan-gon, dia berjanji akan membantu pemain mencapai potensi terbaik mereka bagi memastikan pasukan mempamerkan peningkatan menjelang jendela perlawanan antarabangsa FIFA Jun depan.

"Sekarang pemain akan kembali ke kelab masing-masing dan saya mahu lihat setiap mereka, saya mahu lihat mereka pada setiap perlawanan, anda boleh lihat sesetengah pemain tidak cukup kecergasan.

“Jadi saya mahu galakkan mereka bermain dengan kerap... ini harapan saya dan saya fikir kita boleh maju,” katanya.

Sementara itu, pengendali berusia 53 tahun itu berkata, dia agak kecewa menyaksikan kesebelasan pemain tidak dapat mengekalkan intensiti di sepanjang permainan.

Katanya, senario berkenaan juga memerlukan kesebelasan pemain untuk mengekalkan penguasaan dan aggresif di sepanjang perlawanan.

“Secara keseluruhannya, saya gembira kami menang dua kali berturut-turut, menentang Hong Kong, saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Terima kasih kepada TMJ ( Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atas penyediaan segala kemudahan baik di sini. Kami mempunyai masa dan persediaan untuk dua perlawanan dan menikmatinya.

“Terima kasih juga kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, atas sokongan yang diberikan.. terima kasih kepada peminat yang datang untuk memberi sokongan kepada kami semasa Ramadan kerana menerusi sokongan yang diterima, kami mampu berjuang untuk Malaysia. Malam ini ( pada Selasa) amat sukar namun masih satu kemenangan yang baik” katanya.