UMK hasrat bina asrama percuma bantu penuntut asnaf

Razli (tengah) mengacau bubur lambuk sempena Program Imarah Ramadan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) pada Selasa.
Razli (tengah) mengacau bubur lambuk sempena Program Imarah Ramadan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) pada Selasa.
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berhasrat membina asrama percuma untuk penuntut dalam kalangan keluarga asnaf.

Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Razli Che Razak berkata, perancangan pembinaan kemudahan tersebut melibatkan semua kampus universiti itu di Bachok, Kota Bharu (Pengkalan Chepa) dan Jeli.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat 2,556 penuntut asnaf tidak termasuk pelajar dalam kalangan keluarga B40 iaitu sebanyak 77.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penuntut seramai 12,000 orang.

“Kami akan menggunakan aset tanah sedia ada, bagaimanapun berdepan kekangan dana ketika ini.

“Pihak pentadbiran universiti akan berusaha untuk mencapai impian ini bagi membantu meringankan beban dan menyuntik semangat sepanjang empat tahun pengajian asnaf di UMK,” katanya kepada pemberita selepas Program Imarah Ramadan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) di sini, pada Selasa.

Razli (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada penuntut.
Razli (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada penuntut.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Razli berkata, pengurusan tertinggi universiti itu sedang berusaha mendapatkan dana luar bagi tujuan pembinaan asrama tersebut.

“Kami cakna dan akan memastikan kekangan kewangan serta ikhtiar hidup tidak akan menjadi halangan kepada penuntut kurang berkemampuan mencapai kejayaan.

“Pelbagai pihak termasuk bank, syarikat kewangan dan korporat sudah dihubungi,” ujarnya.

Tambah beliau, universiti itu turut menyediakan 13 rumah sewa percuma bagi tujuan sama.