MOT bakal perkenal aplikasi lupus kenderaan buruk

MOT dalam proses membangunkan sistem melalui aplikasi atau kaedah digital yang lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan motor secara dalam talian. - Gambar hiasan
MOT dalam proses membangunkan sistem melalui aplikasi atau kaedah digital yang lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan motor secara dalam talian. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam proses membangunkan sistem melalui aplikasi atau kaedah digital yang lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan motor secara dalam talian.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sistem tersebut bertujuan untuk memudahkan mana-mana individu yang berhasrat untuk melupuskan kenderaan buruk atau yang telah rosak dengan membuat pembatalan pendaftaran kenderaan tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kenderaan buruk tersebut seterusnya akan boleh dilupuskan oleh syarikat pelupusan sisa pepejal, Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) yang diiktiraf mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh agensi berkaitan.

“Diharap dengan pelaksanaan inisiatif ini, ianya akan dapat menyelesaikan itu lambakan kenderaan buruk dan usang di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berjaya demikian menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang memintanya menyatakan usaha-usaha kerajaan bagi menguruskan pelupusan kenderaan buruk dan kenderaan akhir hayat (ELV), di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, perkara melibatkan pelupusan kenderaan dan kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab MOT semata-mata tetapi turut melibatkan kementerian lain.

Malah katanya, kerajaan amat memberi perhatian kepada isu lambakan kenderaan motor yang tidak lagi sesuai digunakan di atas jalan raya sama ada dari aspek keselamatan penggunaannya serta dari aspek pencemaran kepada alam sekitar.

“Dalam hal ini, Kementerian melalui JPJ sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan terlibat untuk mengkaji hala tuju jangka masa panjang mengenai perkara ini termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang.

“Pelaksanaan sistem pelupusan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya, mengurangkan pencemaran daripada kenderaan yang telah lama dan berusia serta merancakkan permintaan kenderaan yang akan menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara,” katanya.