10,388 PATI diusir di Sabah

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10,388 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diusir Jabatan Imigresen Sabah atas pelbagai kesalahan sejak dari tahun 2021 hingga 27 Mac 2023.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, secara keseluruhan jumlah PATI yang diusir menunjukkan angka agak tinggi dengan 1,991 telah diusir dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Menurutnya, statistik jabatan itu juga mendapati sehingga kini terdapat 4,655 PATI yang masih lagi ditahan di empat depot yang terdapat di negeri tersebut.

“Berdasarkan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melibatkan premis perniagaan atau perusahaan, sepanjang tahun 2021, sebanyak 1,076 operasi telah dilaksanakan dengan tangkapan sebanyak 1,881 PATI dan 45 majikan.

“Jabatan Imigresen Negeri Sabah telah melaksanakan 700 operasi, melibatkan tangkapan 1,437 PATI daripada pelbagai negara dan 14 majikan atas pelbagai kesalahan Imigresen pada tahun 2022.

“Sehingga tahun 2023, terdapat 265 operasi, 487 PATI ditangkap, dua majikan dan 6,405 pemeriksaan dibuat pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang memintanya menyatakan tindakan telah dilaksanakan terhadap PATI yang terdapat di Sabah khususnya Tawau yang banyak menimbulkan gejala sosial dan keselamatan yang meresahkan penduduk setempat.

Tambah beliau, jabatan itu akan terus mempergiatkan usaha mengusir PATI ke negara asal dan berunding dengan kerajaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepatkan proses pengusiran.