UDA sumbang zakat RM58,000 kepada 5 rumah kebajikan

Ewon Benedick bergambar bersama sebahagian anak yatim Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman yang menerima sumbangan zakat Uda ketika Majlis Berbuka Puasa Uda Bersama Media di sebuah hotel pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ewon Benedick bergambar bersama sebahagian anak yatim Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman yang menerima sumbangan zakat Uda ketika Majlis Berbuka Puasa Uda Bersama Media di sebuah hotel pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - UDA Holdings Berhad menerusi UDA Cares menyumbang zakat berjumlah RM58,000 kepada asnaf dan anak yatim menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, program itu merupakan acara tahunan UDA untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Sumbangan zakat RM10,000 setiap satu itu diagihkan kepada lima badan bukan kerajaan (NGO) melibatkan Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman; Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera, Rumah Permata Hatiku, Rumah Anak Yatim Shifa serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah,” katanya ketika sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan itu pada Majlis Berbuka Puasa UDA Bersama Media di Boathouse, Ampang pada Selasa.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Mohd Salem Kailany.

Benedick berkata, KUSKOP turut menghargai komitmen serta inisiatif UDA dan juga agensi lain di bawah kementerian yang ingin membantu anak-anak golongan asnaf sempena bulan yang mulai ini.

Sementara itu, Mohd Salem berharap sumbangan UDA dapat memberi kegembiraan kepada semua penerima menjelang lebaran tahun ini.

“Sokongan dan kepercayaan oleh rakan media kepada UDA selama ini juga adalah antara faktor yang menyumbang kelangsungan UDA sehingga ke hari ini," katanya.

Tambahnya lagi, UDA berharap semoga hubungan baik dengan pihak media juga akan terus berkekalan.

Pada majlis berbuka puasa itu, seramai 40 orang anak yatim Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur turut diraikan.