Tangani segera pendedahan serius SPRM

Jabatan Imigresen Perak berjaya menahan 30 PATI menerusi Ops Pintu yang dijalankan.
Jabatan Imigresen Perak berjaya menahan 30 PATI menerusi Ops Pintu yang dijalankan.
A
A
A

APABILA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadi lubuk bagi segelintir penguat kuasa untuk meminta rasuah, ia adalah satu isu serius yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

Perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya wajib ditangani dengan segera kerana ia sudah membarah ke seluruh pelosok jaringan keselamatan dalam Malaysia.

Daripada soal kuota kemasukan pekerja asing, pelacuran, rumah urut, perjudian, Macau Scam dan penerokaan tanah semuanya berlaku kerana rasuah.Turut terjadi rasuah dalam hingga boleh berniaga tanpa lesen atau menggunakan premis dan lesen perniagaan rakyat tempatan.

Rasuah juga membolehkan PATI bekerja di sektor pembinaan, perladangan dan perkhidmatan tidak sah.

Paling membimbangkan ialah apabila ia melibatkan soal kedaulatan negara apabila rasuah itu berlaku melibatkan soal kerakyatan dan sijil beranak.

Taraf kewarganegaraan yang amat tinggi nilainya boleh digadaikan kepada orang luar apabila berlakunya rasuah.

Turut berlaku PATI boleh keluar masuk ke negara ini dengan sewenang-wenangnya semuanya disebabkan penyelewengan yang berlaku di pintu sempadan.

Oleh itu, perlu ditubuhkan satu badan khas untuk melihat isu ini bermula dari bawah hinggalah ke peringkat atasan kerana tanpa kesungguhan itu, sampai bila-bila ia akan terus berlaku.

Lantiklah bekas penjawat awam yang berpengalaman dan berintegriti untuk menggerakan badan itu dalam mencari solusi kepada permasalahan yang telah dibangkitkan SPRM.

Kesannya, hasil negara akan tiris apabila subsidi yang diperuntukkan untuk rakyat dibolot oleh warga asing yang sudah pasti mereka tidak membayar sebarang cukai untuk pembangunan negara.

Pasukan keselamatan kita seperti polis akan menjadi terlebih penat kerana terpaksa menumpukan khidmat mereka kepada kes-kes yang dilakukan oleh PATI terlibat.

Kesan rasuah yang berlaku juga akan menyebabkan cabang perkhidmatan kerajaan yang lain seperti kesihatan dan pendidikan akan turut terkesan apabila perlu beroperasi lebih daripada nisbah kemampuan yang ada.

Kita sayang negara kita, maka ia harus dijaga dengan sebaiknya daripada anasir-anasir perosak ini!