Rapid Rail giat tangani isu berkaitan operasi

Rapid Rail sedang giat menjalankan kerja-kerja penambahbaikan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. - Foto Bernama
Rapid Rail sedang giat menjalankan kerja-kerja penambahbaikan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) sedang giat menjalankan kerja-kerja penambahbaikan antaranya menaik taraf sistem persemboyanan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES).

Dalam kenyataan pada Selasa, Rapid Rail memaklumkan langkah penambahbaikan itu untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang seterusnya memberi perkhidmatan berkualiti kepada pengguna pengangkutan awam.

"Ia juga sebagai satu langkah mitigasi dalam usaha menangani beberapa isu lain yang terjadi sejak kebelakangan ini supaya dapat dielakkan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, berlaku gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya berpunca daripada sistem PIES yang satu komponennya telah tersangkut di bawah tren sehingga menyebabkan tren tersebut terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, gangguan yang berlaku di Stesen LRT Taman Bahagia pada 6.38 petang itu, berjaya diatasi pada 9.40 malam tadi.

Susulan itu, pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan tren dan bas perantara bagi membawa penumpang yang terjejas antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Asia Jaya. - Bernama