Kemajuan projek ECRL capai 40.81 peratus

Projek pembinaan ECLR yang sedang giat dijalankan. Foto: ECRL
Projek pembinaan ECLR yang sedang giat dijalankan. Foto: ECRL
A
A
A

KOTA BHARU - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan 40.81 peratus bagi keseluruhan jajaran sehingga kini manakala 51.94 peratus di negeri Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perkembangan itu didorong oleh kerja-kerja infrastruktur yang giat dijalankan.

“Kerja-kerja merangkumi pemasangan rasuk jejambat yang sudah pun bermula dari jambatan di Jerus, Pasir Puteh dan kini menghampiri kawasan Padang Raja, Melor.

“Kerja-kerja penambakan tanah yang meliputi 16 daripada 19 lokasi di negeri Kelantan juga bermula.

“Selainnya, kerja-kerja rawatan tanah dan penanaman cerucuk bagi Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong serta kerja-kerja rawatan tanah bagi Stesen ECRL Pasir Puteh di Kampung Jeram juga giat dijalankan,” katanya pada Majlis Ifftar bersama ECRL, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurut Darwis, pembinaan ECRL di Kelantan meliputi jajaran sepanjang 43.86 kilometer dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2026, mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata, projek mega nasional itu mencapai kemajuan terbabit setelah berlangsung selama enam tahun dengan sokongan kerajaan negeri, jabatan dan pihak-pihak yang berada di jajaran.

Ahmad (dua dari kiri) dan diiringi Darwis (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Noor.
Ahmad (dua dari kiri) dan diiringi Darwis (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Noor.

“Projek akan siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan akan bermula pada 1 Januari 2027 untuk kita sama-sama dapat menikmati ECRL.

“Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan akan dapat disingkatkan kepada empat jam berbanding berbelas jam kesesakan yang terpaksa ditempuh terutama pada musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, MRL turut memberikan sumbangan Ramadan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Lilbanin Sri Peraksi yang disampaikan oleh Ahmad kepada mudirnya, Mohd Noor Abd Samad.

MRL turut menghulurkan sumbangan kepada warga emas dan anak-anak yatim di beberapa pusat penjagaan di negeri jajaran iaitu Terengganu, Pahang dan Selangor dalam siri jelajah ifftar berkenaan.