Bukan kedekut tapi nak jimat

Orang ramai membuat persiapan sambutan Aidilfitri. - Foto Bernama
Orang ramai membuat persiapan sambutan Aidilfitri. - Foto Bernama
A
A
A

TAHUN 2023 merupakan tahun paling mencabar bagi kebanyakan ibu bapa kerana sesi persekolahan 2023/2024 yang bermula pada Mac hanya selang sebulan dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Seperti sedia maklum, banyak belanja yang perlu dikeluarkan untuk kelengkapan anak-anak yang bersekolah. Baju, seluar dan kasut sahaja mencecah ratusan ringgit seorang, belum lagi ambil kira belanja beli beg sekolah, buku dan alat tulis. Apatah lagi jika anak baru nak masuk Tahun Satu, semuanya serba baharu.

Bagaimanapun, alhamdulillah pada Januari lalu, ketika Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bersetuju menyalurkan Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai RM150 kepada semua murid tanpa kira had pendapatan ibu bapa.

Ini sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak ramai bersekolah untuk menyediakan kelengkapan persekolahan.

Selain itu, ada juga pihak sekolah mengambil inisiatif membantu dengan mengumpul pakaian lama pelajar-pelajar untuk disumbang kepada keluarga kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan pakaian anak mereka.

Di samping itu, bagi mengurangkan perbelanjaan persediaan sekolah, ada ibu bapa yang terpaksa menyuruh anak-anak mereka menggunakan alat tulis, kasut dan beg sekolah lama kerana gaji atau wang simpanan digunakan untuk bulan Ramadan dan persiapan raya serta komitmen bulanan.

Namun syukur bantuan dan usaha dilakukan pihak berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan beban ibu bapa malah turut membantu penulis menyediakan kelengkapan persekolahan dan anak-anak memahami situasi ini. Bagi penulis pula, hanya membeli keperluan lain secara minimum. Itu pun penulis membelinya awal tahun bagi mengelakkan terguna wang yang telah diasingkan.

Dalam pada menyambut sesi persekolahan, minggu pertama juga umat Islam menyambut Ramadan, jadinya makin bertambah perbelanjaan isi rumah. Seperti tradisi setiap kali Ramadan, setiap kali itu juga harga barangan mentah naik disebabkan permintaan tinggi tetapi pengeluaran kurang.

Sedikit sebanyak ia mempengaruhi perbelanjaan dapur untuk menyambut Ramadan, penulis hanya bersederhana menyambut puasa dengan membeli keperluan penting sahaja. Kalau penulis mengeluh, peniaga juga turut mengeluh dengan kenaikan harga barang sehingga mereka terpaksa menaikkan harga. Mana ada peniaga mahu menanggung kerugian, jadi sudah tentulah pengguna seperti kita ini yang perlu menanggung kenaikan berganda.

Penulis tidak menuding jari mahu salahkan pembekal atau peniaga dengan kenaikan harga barang. Bagi penulis membeli barang mentah sekarang sangat terasa, kalau penulis pergi pasar bawa RM50, hanya mampu bertahan stok sehari sahaja selain terpaksa mengehadkan perbelanjaan.

Jadinya, untuk berjimat penulis lebih suka masak sendiri atau berbuka secara percuma di masjid.

Justeru, mohon kerajaan pantau harga atau bantu peniaga dan pembeli yang terkesan bagi mengatasi isu berkenaan apabila ia dilihat seperti tiada jalan penyelesaian.

Ini belum lagi kalau nak cerita barang mentah untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Terlalu banyak kelengkapan perlu disediakan, mana hendak menyediakan juadah raya, biskut raya, baju raya dan mahu balik kampung lagi semua memerlukan perbelanjaan besar.

Pening juga bila penulis fikir duit mengalir macam air, memang tidak sempat hendak dibuat simpanan kerana banyak perkara menjadi keutamaan. Jadi penulis nasihatkan kita kena lebih berjimat cermat dan bijak merancang belanjawan keluarga.

Baju raya itu beli sepasang cukup kerana pasti wang diperuntukkan untuk keperluan dapur. Hari Raya Aidilfitri pula jatuh bukan pada waktu gaji, maka bersabar kalau mahu berbelanja lebih. Kena pandai-pandailah mengatur kewangan sendiri.

Walaupun hari raya kali ini mungkin pertama kali lebih meriah selepas dua tahun kita tidak sambut Syawal akibat Covid-19, manakala tahun lalu pula jadi ‘raya terkejut’, namun cukup bagi penulis dan keluarga menyambut secara bersederhana.

Oleh itu, harapan penulis kerajaan dapat membantu menurunkan harga barangan mentah menjelang perayaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah. Penulis mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa, moga ibadah kita diterima ALLAH SWT.

*Zairani Ibrahim ialah Pencipta Kandungan Media Sosial Sinar Harian