Kuih nekbat muncul setahun sekali

Mek Kalsom yang sudah lebih 50 tahun mengusahakan nekbat mengakui terpaksa menjual kuih tersebut pada harga 50 sen sebiji berbanding RM2 untuk lima biji tahun lalu.
Mek Kalsom yang sudah lebih 50 tahun mengusahakan nekbat mengakui terpaksa menjual kuih tersebut pada harga 50 sen sebiji berbanding RM2 untuk lima biji tahun lalu.
A
A
A

BACHOK - Kuih tradisional nekbat yang muncul setahun sekali pada bulan Ramadan menjadi tumpuan masyarakat di negeri ini untuk menjadikannya sebagai pembuka selera semasa berbuka puasa.

Walaupun bentuknya seakan-akan kuih baulu, namun ia perlu dimakan dengan air gula kerana rasa asalnya yang tawar.

Pengusahanya, Mek Kalsom Yunus, 65, dari Kampung Kubang Golok di sini berkata, kuih tradisi Kelantan yang digilai ramai sepanjang Ramadan itu hanya menggunakan tiga bahan sahaja iaitu putih telur itik, tepung gandum dan air.

"Sepanjang Ramadan sekitar 15,000 hingga 20,000 biji nekbat akan disiapkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Tahun ini permintaan tinggi, tapi saya tidak dapat memenuhinya kerana masalah bekalan telur itik yang sukar diperolehi," katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang sudah lebih 50 tahun mengusahakan kuih tersebut berkata, nekbat terpaksa dijual pada harga 50 sen sebiji berbanding RM2 untuk lima biji tahun lalu.

Mek Kalsom masih memasak nekbat dengan menggunakan cara tradisional.
Mek Kalsom masih memasak nekbat dengan menggunakan cara tradisional.

Mek Kalsom memberitahu, sehingga kini dia masih memasak dengan cara tradisional iaitu menggunakan acuan tembaga, serta bara dan api yang terhasil dari pada sabut kelapa.

"Saya dibantu oleh empat pekerja yang merupakan ahli keluarga dan setiap hari mereka bermula seawal jam 7 pagi bagi menyiapkan tempahan.

"Menghasilkan nekbat memerlukan ketelitian dan perlu pandai 'melembutkan tangan' terutama ketika membancuhnya bersama tepung gandum bagi mendapatkan tekstur yang cantik dan kembang.

"Setelah telur siap dikepuk, ia kemudian dibancuh bersama tepung gandum dan air," ujarnya.

Nekbat perlu dimakan dengan air gula kerana rasa asalnya tawar.
Nekbat perlu dimakan dengan air gula kerana rasa asalnya tawar.

Dia memberitahu, proses pembakaran nekbat mengambil masa antara 10 hingga 12 minit.

Mek Kalsom berkata, sebaik sahaja masak, ia perlu diangkat segera dan terus dimasukkan ke dalam air gula.

Tambahnya, proses itu perlu dilakukan dengan cepat bagi mengelak nekbat 'masuk angin' selain membolehkan ia mengembang dengan cantik.