Tengku Mohd Azzman dilantik Presiden ASM keenam

Tengku Azzman Shariffadeen - Foto Bernama (kredit Akademi Sains Malaysia)
Tengku Azzman Shariffadeen - Foto Bernama (kredit Akademi Sains Malaysia)
A
A
A

SHAH ALAM - Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim dilantik sebagai Presiden ASM keenam berkuat kuasa pada Isnin.

Pelantikan selama sepenggal bermula 1 Mac lalu hingga 28 Februari 2026 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang juga salah seorang Felo Pengasas ASM akan berperanan sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada negara seperti yang diluluskan oleh kabinet pada 22 Jun 2022.

Tengku Mohd Azzman mengambil alih jawatan tersebut daripada Presiden ASM kelima, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail yang telah tamat tempoh perkhidmatannya selama dua penggal pada 27 Disember 2022 seperti yang termaktub dalam Akta Akademi Sains Malaysia 1994.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pengalaman luas yang dimiliki Tengku Mohd Azzman Shariffadeen diharap membantu memperkukuhkan ekosistem dan tadbir urus Badan Pemikir bagi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.

"Saya yakin melalui kepimpinan terbaharu ASM, agensi ini mampu menyalurkan manfaat lebih besar kepada masyarakat dan negara berlandaskan prinsip Malaysia Madani.

"MOSTI ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sekali gus mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada Presiden ASM kelima, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail yang mempamerkan komitmen padu kepada kementerian, ASM serta pemegang taruh lain dalam menjayakan agenda STIE negara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan ASM pada Isnin.

Tengku Mohd Azzman dilahirkan pada 15 Disember 1946 di Kota Bharu, Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan dan Kawalan Sistem daripada Institute of Science and Technology, University of Manchester.

Beliau antara individu yang bertanggungjawab merintis bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif pertama di Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS) Berhad sejak 1984 sehingga 2005.

Koridor Raya Multimedia atau dikenali sebagai Mulmedia Super Corridor (MSC) adalah program perdana yang dicetuskan di bawah kepimpinan Tengku Mohd Azzman.

Beliau turut berperanan untuk merangka Agenda Komunikasi Maklumat Kebangsaan (NITA) ketika memegang jawatan sebagai Setiausaha Pertama National IT Council (1994).

Beliau juga pernah menganggotai beberapa badan pasukan Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations ICT Task Force) yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan memantau pembangunan industri ICT Asia.