Kilang peluru bakal dibina di Kuala Pilah

Negeri Sembilan bakal mempunyai kilang peluru saiz berkaliber kecil tidak lama lagi di Senaling, Kuala Pilah.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohamad Rafie)
Negeri Sembilan bakal mempunyai kilang peluru saiz berkaliber kecil tidak lama lagi di Senaling, Kuala Pilah.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohamad Rafie)
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan bakal mempunyai kilang peluru saiz berkaliber kecil tidak lama lagi di Senaling, Kuala Pilah.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kilang tersebut akan dibangunkan di tanah seluas 80.93 hektar oleh syarikat Myaltech Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Negeri Sembilan.

Menurutnya, ia melibatkan nilai pelaburan permulaan berjumlah RM80 juta.

"Lawatan naziran telah pun diadakan di tapak tanah di Senaling oleh semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) enam bulan lalu.

"Kita sedang menunggu keputusan muktamad daripada KDN dan saya difahamkan ia dalam proses kajian. Insya-ALLAH dalam tempoh terdekat akan ada keputusan muktamad mengenainya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ujarnya, Myaltech Sdn Bhd akan mendapatkan kepakaran daripada sebuah syarikat pengeluar peluru Switzerland terkemuka dunia yang menguasai kebanyakan pasaran di Eropah.

Menurut Mohamad Rafie, pembinaan kilang itu kelak diharap dapat mengurangkan kebergantungan negara dalam mengimport bahan senjata.

"Saya boleh katakan kilang ini antara yang paling canggih di negara ini dan pembuatan peluru itu akan bermula dari A hingga Z.

"Jika semuanya berjalan lancar saya jangkakan pembinaannya akan bermula tahun ini dan ia akan dapat menyediakan kira-kira 200 peluang pekerjaan mahir kepada anak tempatan khususnya di Kuala Pilah," katanya.

Selain itu beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang soal keselamatan berikutan kewujudan kilang berkenaan kerana ia semestinya antara yang diberi keutamaan oleh kerajaan negeri apabila ia beroperasi kelak.