Mak cik, orang lain pun nak beli lauk juga!

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

CERITANYA bermula sewaktu Merak Jalanan dan seorang rakan pergi ke bazar Ramadan Stadium Shah Alam untuk beli juadah untuk berbuka di pejabat kelmarin.

Tepat jam 5.30 petang, terus kami 'angkat kaki' ke stadium dengan sebuah kereta.

Semua sedia maklum, Sabtu merupakan hari cuti umum dan jalan tidaklah sesak. Bagaimanapun, laluan menuju ke bazar Ramadan di Seksyen 13 itu sesak yang amat! Hampir setengah jam kereta yang kami naik itu tersangkut di persimpangan pusat beli-belah AEON Mall, Seksyen 13.

Terdetik dalam hati Merak Jalanan "pukul berapa kami nak sampai kat bazar ni? Sempatkah kami nak beli juadah yang bos dan kawan-kawan lain kirim?"

Dalam jam 6 petang, sampailah kami di bazar Ramadan Stadium Shah Alam. Mata Merak Jalanan terpaku melihat ramainya orang.

Kami berdua susun strategi dengan berpecah dan beli juadah dipesan dan yang kami teringin dalam tempoh 30 minit sahaja.

Merak Jalanan ditugaskan beli lauk dan nasi. Apabila sampai sahaja di gerai lauk-pauk, lagilah terkejut bila tengok orang tak surut-surut.

Merak Jalanan tabahkan hati, beratur juga di gerai tersebut sebab dah pening dengan lautan manusia.

Jam di tangan menunjukkan waktu menghampiri 7 malam, hati dah gelabah sebab ada lagi dua orang di depan belum sampai 'hajat' mereka.

Nak dijadikan cerita, mak cik di depan ini boleh pula buat sesi ambil order dengan video WhatsApp.

Tak sempat Merak Jalanan buka mulut, terus tuan punya gerai tegur dia; "Mak cik, nak lauk apa? Ramai dok perhatikan awak ni."

Dipendekkan cerita, kami berdua selamat kembali ke pejabat bersama juadah dipesan lagi tiga minit waktu berbuka. Ketibaan kami disambut dengan tepukan gemuruh rakan-rakan di pejabat.

Moral cerita ini, ingat-ingatlah orang di belakang kalau memilih juadah!